GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Polis akan memohon sambungan reman ke atas suspek disyaki membunuh dan membakar wanita hamil empat bulan yang mayatnya ditemui di kawasan belukar, kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau di sini, 23 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, permohonan lanjutan reman ke atas lelaki berusia 29 tahun itu akan dibuat esok.

"Lelaki itu sebelum ini direman selama enam hari (bermula 24 Mei) sehingga esok. Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor esok pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan kes itu.

Katanya, tindakan menyebar maklumat tidak sahih berhubung kes adalah tidak bertanggungjawab dan pihaknya tidak teragak-agak membuka kertas siasatan ke atas mana-mana individu mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pendakwaan juga boleh dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat wanita berusia 21 tahun itu yang dipercayai dibunuh kekasihnya yang mahu merahsiakan kehamilan mangsa selepas mereka terlanjur.

Kedua-duanya dikatakan sudah menjalin hubungan selama setahun. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 11:39 PM