Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. - Foto BERNAMA
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. - Foto BERNAMA
BERNAMA

Kangar: Pendakwah Islam perlu sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran dan ilmu supaya dihormati dan menjadi contoh terbaik kepada masyarakat, titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

"Sebagai umat Islam kita semua mempunyai tanggungjawab untuk berkongsi keindahan Islam sesama umat manusia," titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Persidangan Dakwah Serantau kali ke-9 yang diadakan di sini malam tadi.

Titah baginda usaha berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi kefahaman mengenai agama Islam kepada masyarakat selain umat Islam juga perlu menjaga akidah dan melindunginya daripada sebarang anasir tidak baik.

Menurut kenyataan itu, persidangan yang dihadiri 200 peserta dari 40 negara itu dianjurkan dengan kerjasama Hidayah Centre Foundation, MyGuide Malaysia, Gabungan Dakwah Malaysia dan MAIPs.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 12:01 PM