FORMASI Pasukan Aerobatik Jupiter daripada Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI-AU). FOTO Bernama
FORMASI Pasukan Aerobatik Jupiter daripada Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI-AU). FOTO Bernama
BERNAMA

Langkawi: Setiap kali berlangsung pertunjukan udara pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23), sudah pasti akan timbul tanda tanya dalam kalangan pengunjung berkaitan pesawat apa yang sedang beraksi di ruang udara ketika itu.

Di sinilah tugas komentator diperlukan bagi menyalurkan maklumat kepada pengunjung supaya tidak keliru dan lebih mengenali pesawat yang sedang beraksi itu dengan lontaran suara yang dapat 'menambat' perhatian orang ramai.

Kapten NR Dinnesh, 31, yang mengetuai pasukan komentator pada LIMA '23 berkata, pasukan itu terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita yang bertugas secara bergilir sepanjang pertunjukan udara berlangsung ada LIMA edisi kali ke-16 ini.

Beliau berkata, pasukannya yang terdiri daripada anggota dan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), membuat persiapan awal bersama juruterbang yang terbabit bagi berbincang mengenai aksi yang akan dilakukan pada pertunjukan udara itu.

"Tugas utama komentator seperti 'jambatan' kepada orang ramai yang sedang melihat pertunjukan udara...kami akan bawa perhatian mereka (pengunjung) ke arah pesawat ketika ia memasuki pentas utama jadi mereka tidak tercari-cari di mana pesawat itu datang dan bila mereka lakukan aksi.

"Kami akan terangkan apakah aksi (pertunjukan udara) yang sedang dilakukan dan memberi contoh bagaimana aksi itu dilakukan, apakah kelajuan dan ketinggian yang diperlukan, serta formasi dilakukan pasukan udara terbabit.

"Perkara ini kami akan terangkan kepada pengunjung dan orang ramai yang datang supaya faham serta tahu apa yang juruterbang sedang lakukan (ketika pertunjukan)," katanya kepada Bernama.

Dinnesh berkata, persembahan mereka menerima reaksi positif daripada pasukan udara dari Russia dan China yang menyertai LIMA kali ini kerana berjaya menerangkan kepada pengunjung mengenai formasi dan pesawat yang digunakan negara itu ketika pertunjukan udara.

Pertunjukan udara pada LIMA '23 menjadi tumpuan orang ramai apabila pasukan aerobatik dari Malaysia, Indonesia, China, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu dan Russia memperlihatkan ketangkasan serta kemahiran tinggi dimiliki juruterbang jet pejuang negara masing-masing.

Antara pesawat yang terbabit dalam pertunjukan udara di LIMA '23 adalah pesawat pejuang F/A18D Hornet, Hawk 108/208, Sukhoi SU30MKM dan pesawat pengangkut jenis C-130H dan A400M serta helikopter MD530G, EC725AP, EC725, AW139 dan AW109 milik TUDM.

Turut serta jet T-50B (Korea Selatan), SU-35S (Russia), KT-1B Wong Bee (Indonesia), Chengdu J-10 (China) dan Aermacchi MB339A (Emiriah Arab Bersatu).

LIMA '23 yang berlangsung sejak Selasa lalu melabuhkan tirai hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 1:11 PM