NAJIB. FOTO Arkib NSTP
NAJIB. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Datuk Johan Mahmood mendakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya mendedahkan sebahagian asetnya berhubung perintah injunksi mareva (larangan melupuskan harta) yang diikeluarkan Mahkamah Tinggi pada Februari tahun lalu.

Menerusi afidavit tambahan dalam kes saman yang dikemukakan 1MDB dan anak syarikatnya terhadap Najib dan tujuh yang lain, Johan mendakwa Najib hanya mendedahkan asetnya dari 2011 hingga 2020, dan tiada maklumat dibuat mengenai asetnya dari 2021 hingga 14 Mac lalu.

Johan berkata, berdasarkan afidavit Najib berhubung pendedahan asetnya, beliau (Johan) percaya Najib hanya membuat pendedahan separa dan tidak mematuhi perintah mareva dan perintah ad-interim (sementara).

Katanya, Najib tidak mendedahkan aset yang dipegang dalam akaun banknya, tidak mendedahkan aset terkininya dan aset yang didedahkan adalah berkaitan tempoh 2011 hingga 2020.

"Tiada pendedahan berkenaan asetnya pada 2021 sehingga 14 Mac 2022, Najib tidak mendedahkan sebarang aset di luar bidang kuasa dan mengikut laporan berita bertarikh 5 Ogos 2021, wang tunai sebanyak RM114 juta dilepaskan kepadanya berikutan penolakan saman berhubung pelucutan hak harta.

"Melalui kejadian yang berikutnya, plaintif mendapati bahawa Najib mengekalkan akaun bank dengan Affin Bank Berhad, yang tidak didedahkan dalam afidavit bagi pendedahan aset.

"Saya menyatakan bahawa plaintif mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa Najib mempunyai lebih banyak aset daripada apa yang didedahkan dalam afidavitnya," katanya.

Johan berkata, bagi mematuhi perintah larangan melupuskan harta yang hampir sama, Najib turut memfailkan afidavit untuk mendedahkan asetnya di mana sebuah portal perniagaan melaporkan bahawa afidavit itu mendedahkan aset bernilai RM4.49 juta.

Beliau berkata, menurut laporan berkenaan, Najib mempunyai deposit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sebanyak RM2.53 juta yang tidak didedahkan dalam afidavit pendedahan melalui kes saman difailkan 1MDB.

Katanya, Najib hanya mendedahkan aset kepada nilai RM1.16 juta dan pendapatan RM587,334 pada tahun 2020.

Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad menangguhkan kes kepada 14 Mei ini kerana peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memerlukan masa untuk menjawab afidavit tambahan berkenaan.

Prosiding hari ini sepatutnya mendengar permohonan Najib untuk mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh 1MDB dan satu anak syarikatnya bagi menghalangnya daripada melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta (RM3.1 bilion).

Pada 8 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan ex-parte bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) iaitu plaintif pertama dan kelima dalam saman terhadap Najib dan beberapa individu lain.

Injunksi itu turut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman namun sekiranya jumlah lebih banyak diperlukan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Perintah itu juga menyatakan Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya bernilai sehingga US$681 juta sama ada di dalam atau di luar negara di bawah nama beliau sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama dengan defendan lain

Selain Najib, turut dinamakan dalam saman itu ialah bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee; dan bekas Ketua Pegawai Operasi 1MDB Vincent Beng dan Radhi Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 6:53 PM