Syaherah Mustafa


Tumpat: Setiap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhak memberi sumbangan kepada Ahli Lembaga Pengarah termasuk Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, inisiatif yang sama turut diambil AKSB.

"Itu jawapan saya dan doakan yang terbaik," katanya ketika diminta mengulas berhubung pemberian sagu hati Aidilfitri oleh kakitangan AKSB termasuk Ahli Lembaga Pengarah.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Dapur Hijau Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujoh, di sini, hari ini.

Terdahulu, AKSB menerusi kenyataan media memaklumkan pemberian sagu hati Aidilfitri yang diberikan kepada kakitangan termasuk Ahli Lembaga Pengarah bagi membantu meringankan beban warga syarikat menyambut hari raya.

Katanya, pemberian itu turut dibuat mengikut prosedur tadbir urus kewangan dan dilulus oleh Lembaga Pengarah iaitu badan tertinggi sesebuah syarikat. AKSB ialah sebuah Syarikat Sendirian Berhad.

Sebelum ini, tular notis mengenai pemberian sagu hati yang disebarkan di sosial.

Menerusi notis berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah dipercayai seramai sembilan orang menerima sagu hati Aidilfitri RM10,000 seorang, manakala setiausaha syarikat RM2,000 dan kakitangan RM200.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, Pas sudah membuat persediaan sebanyak 82 peratus untuk berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menurutnya, gerakan secara berperingkat turut dijalankan hasil kerjasama semua pihak di dalam parti berkenaan.

AHMAD (tengah) merasmikan Majlis Sambutan Hari Dapur Hijau Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujoh, di sini, hari ini.
AHMAD (tengah) merasmikan Majlis Sambutan Hari Dapur Hijau Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujoh, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 3:07 PM