Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Hanya 1,770 daripada 18,457 kes bankrap yang direkodkan pada 2015 akibat kegagalan membayar hutang kad kredit.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia (BNM) bagi 2011-2015 kebanyakan kes bankrap khususnya pada 2014 dan 2015 disebabkan pinjaman peribadi diikuti isu sewa beli kenderaan.

Katanya, bagi menangani isu kebankrapan membabit kad kredit, pelbagai langkah diperkenalkan oleh BNM antaranya memastikan hanya pemohon yang layak iaitu mempunyai pendapatan minimum RM24,000 setahun diberi kelulusan.

"Melalui langkah ini menunjukkan statistik kadar kelulusan tidak setinggi sampai 80 hingga 90 peratus sebaliknya di bawah kawalan iaitu hanya 50 hingga 60 peratus saja," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datu Nasrun Datu Mansur (BN-Silam) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah kerajaan dalam mengawal penggunaan kad kredit dalam kalangan golongan muda, memandangkan jumlah hutang mereka melebihi gaji diterima.

Datu Nasrun juga ingin tahu apakah inisiatif kerajaan dalam memastikan jumlah isi rumah ini terkawal memandangkan hutang isi rumah adalah yang tertinggi di Asia memandangkan statistik terkini BNM, dianggarkan sebanyak 62 peratus daripada hutang isi rumah adalah untuk tujuan pengumpulan aset.

Chua berkata, jumlah hutang isi rumah Malaysia terkini pada akhir Disember 2015 adalah RM1.03 Trilion (80 peratus daripada sistem perbankan dan 20 peratus daripada institusi kewangan bukan bank).

Katanya, daripada jumlah itu, 62.6 peratus adalah untuk tujuan pengumpulan aset iaitu pembelian harta tanah dan pelaburan dalam aset kewangan.

"BNM melaksanakan pelbagai langkah progresif bagi membendung kenaikan hutan isi rumah sejak 2010.

"Menerusi pelbagai langkah kawalan, kadar pertumbuhan hutang isi rumah menurun kepada 7.3 peratus pada akhir Disember 2015 berbanding 14.2 peratus pada 2010," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 1:06 PM