TAKIYUDDIN. FOTO Arkib NSTP
TAKIYUDDIN. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

AKTA Insolvensi 1967 akan dipinda bagi membantu rakyat yang muflis terutama kesan Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya sedang meneliti pindaan terhadap Seksyen 5 (1) akta itu yang membabitkan had bankrap baharu.

Katanya, sesi keterlibatan dengan pihak berkepentingan juga diadakan bagi pindaan berkenaan.

"Ya memang saya sebut kerajaan prihatin dalam pasca Covid-19 ini dan kerajaan akan membentangkan satu pindaan khususnya kepada Seksyen 5 Akta Insolvensi yang membabitkan had bankrap baharu.

"Saya tak boleh umumkan lagi kerana ia akan dibentangkan dalam persidangan ini juga," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Takiyuddin berkata demikian menjawab soalan tambahan Hannah Yeoh (PH-Segambut) sama ada kerajaan akan menaikkan had bankrap yang kini pada RM50,000, susulan wabak Covid-19 menyebabkan ramai kehilangan kerja atau tiada upaya untuk membayar balik pinjaman.

Menjawab soalan asal Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) supaya kerajaan mengkaji dan meminda undang-undang berkaitan muflis agar mereka yang berkenaan mudah selesaikan hutang dan tidak terperangkap dalam status kebangkrapan sepanjang hayat, Takiyuddin berkata, peruntukkan baharu diperkenalkan untuk tangani itu.

Menerusi Akta Kebankrapan (Pindaan) 2017 (Akta1534), katanya, satu peruntukan yang baharu mengikut Seksyen 33C iaitu Pelepasan Automatik diperkenalkan bagi melayakkan mereka yang bankrap dilepaskan secara automatik.

"Pindaan itu dapat membantu, memudahkan bankrap untuk memahami dan mematuhi arahan ditetapkan berdasarkan undang-undang yang sudah ditetapkan.

"Kunci utama seorang bankrap supaya status kebankrapan tidak berkekalan sepanjang hayat ialah memahami, memberi kerjasama yang penuh dan mematuhi arahan Jabatan Insolvensi Malaysia," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 3:58 PM