Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) khususnya MCA tidak perlu 'berkecil hati' dalam kerjasama yang dijalankan parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Perpaduan pada ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, harus ada sikap menyantuni parti-parti yang berkolaborasi secara kerjasama pintar yang menjadi realiti baharu politik negara hari ini.

"Kita mengingatkan diri kita sendiri bahawa BN terus diperkasakan. Bukan saja MCA tapi MIC, PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) adalah komponen teras kita.

"Kita juga mempunyai parti bersekutu dalam BN...yang penting adalah kerjasama dengan semua parti dalam 'outfit' BN serta kita harus menyantuni keberadaan parti-parti daripada kolaborasi ini dan terdapat 19 parti yang berada di dalam ini.

"Saya tak mahu mana-mana parti berkecil hati apabila kita bekerjasama secara 'smart partnership' ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023 di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang mengingatkan Ahmad Zahid supaya meletakkan kepentingan parti komponen dalam BN terlebih dulu, bukannya mengutamakan PH khasnya DAP.

Sin Woon dalam satu kenyataan semalam turut menegaskan supaya Ahmad Zahid berpegang utuh kepada prinsip, selain berwaspada dalam hal berkaitan kerjasama antara kedua-dua gabungan.

Ahmad Zahid turut mengingatkan parti komponen BN memperkukuhkan parti masing-masing bagi memperoleh dukungan dan sokongan daripada ahli-ahlinya serta menarik pengundi yang terdiri daripada bukan ahli.

"Ini untuk memberikan impresi positif kepada partinya dan bukannya adverse consequences (kesan buruk) yang berlaku disebabkan oleh perkara-perkara lampau.

"Jadi memperkukuhkan parti masing-masing untuk pengembangan daya sokongan yang lebih tersebar luar itu lebih penting daripada melayani rasa kecil hati oleh mana-mana parti politik," katanya.

AHMAD Zahid pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023. FOTO Danial Saad
AHMAD Zahid pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 12:51 PM