AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Awang Askandar. FOTO Ihsan FB Istana Negara.
AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Awang Askandar. FOTO Ihsan FB Istana Negara.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dilatih khas untuk operasi di tempat berisiko tinggi dan ekstrim seperti Gunung Everest wajar ditubuhkan.

Perkara itu disuarakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, pasukan khas berkenaan boleh diatur gerak dengan segera sekiranya ada keperluan.

"Seri Paduka Baginda turut berpandangan negara juga perlu mempunyai pakar perubatan berkaitan aktiviti pendakian gunung dan setiap misi pendakian mempunyai pasukan perubatan sendiri.

"Tugas pasukan perubatan itu penting untuk memeriksa dan memastikan tahap kesihatan para pendaki setiap hari serta memberi rawatan kecemasan kepada pendaki," katanya hari ini.

Istana Negara memaklumkan, perkara itu disuarakan Baginda susulan pemergian pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub selepas berhadapan masalah kesihatan ketika berada 8,000 meter dari aras laut dalam misi menawan puncak Everest, Jumaat lalu.

Katanya, kedua-dua Baginda juga mendoakan usaha SAR pendaki orang kurang upaya (OKU) Muhammad Hawari Hashim dipermudahkan dan ditemui dalam keadaan selamat.

"Seri Paduka Baginda menasihati pendaki gunung negara agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan mengambil langkah sewajarnya setiap kali melakukan misi pendakian gunung.

"Seri Paduka Baginda menyeru semua pihak dan jabatan yang berkaitan agar menyediakan satu garis panduan dalam aspek keselamatan sukan mendaki," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah yang juga pendaki ME 2023 Awang Askandar meninggal dunia ketika cubaan menawan gunung tertinggi itu.

Al Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Awang Askandar.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 5:21 PM