LELAKI (kanan) mendakap anaknya yang ‘tertinggal’ anak  di sebuah medan selera di Simpang Kallang. FOTO Ihsan Facebook Polis Daerah Raub
LELAKI (kanan) mendakap anaknya yang ‘tertinggal’ anak di sebuah medan selera di Simpang Kallang. FOTO Ihsan Facebook Polis Daerah Raub
Amir Hamzah Nordin


Raub: Ibu menyangka anak lelaki bersama bapanya, bapa pula menyangka kanak-kanak itu bersama ibunya. Itu situasi lucu yang berlaku apabila pasangan suami isteri 'tertinggal' anak lelaki berusia 6 tahun di sebuah medan selera di Simpang Kallang, di sini, semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dalam kenyataannya di Facebook berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam sebelum kanak-kanak itu dihantar ke IPD Raub untuk tindakan polis seterusnya.

"Usaha untuk menghubungi bapa kanak-kanak itu berjaya dan dia datang semula ke IPD Raub untuk mendapatkan anaknya," katanya melalui media sosial Facebook Polis Daerah Raub, hari ini.

Menurut kenyataan itu, kejadian difahamkan berlaku ketika keluarga terbabit berhenti di medan selera berkenaan untuk makan tengah hari semalam sebelum pasangan suami itu berpisah untuk bergerak semula ke destinasi masing-masing.

"Ibunya bergerak ke arah Kelantan, manakala bapanya ke arah ibu kota (Kuala Lumpur) dan tidak sedar anaknya tiada bersama mereka.

"Ibu bapa kepada kanak-kanak itu menyangkakan kanak-kanak itu bersama bapanya, begitu sebaliknya dan menyedari sehingga pihak polis berjaya menghubungi bapa kanak-kanak itu tentang kejadian tertinggal kanak-kanak itu," katanya.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga anak masing-masing dan pastikan anak sentiasa dalam jagaan dengan baik agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 7:53 PM