ALLAHYARHAM Aina Batrisha Aisyah yang meninggal dunia selepas ditinggalkan dalam kereta bapanya di tempat kerja, semalam. FOTO ihsan pembaca
ALLAHYARHAM Aina Batrisha Aisyah yang meninggal dunia selepas ditinggalkan dalam kereta bapanya di tempat kerja, semalam. FOTO ihsan pembaca
Nor Farhani Che Ad


"ARWAH adalah anak yang paling rapat dan manja dengan bapanya, dalam kejadian itu, bapanya betul-betul terlupa yang arwah sedang tidur di tempat duduk belakang."

Itu kata seorang ahli keluarga, Allahyarham Aina Batrisha Aisyah Shaiful Azrul, 4, kanak-kanak yang ditemui meninggal dunia selepas tertinggal di dalam kereta bapanya di tempat kerja di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani, semalam.

Dia yang enggan dikenali berkata, bapa arwah dilihat begitu sedih dengan kejadian yang menimpa anak keempatnya daripada lima beradik itu.

Katanya, difahamkan dalam kejadian itu, arwah sepatutnya dihantar ke rumah neneknya di Kampung Bukit Sungai Pasir, selepas bapanya menghantar adik bongsu mangsa ke rumah sepupu bapanya di kawasan berdekatan.

"Pada pagi kejadian bapa arwah terlebih dulu menghantar isteri ke tempat kerja sebelum menghantar anak-anak lain ke sekolah.

"Kemudiannya, bapa arwah menghantar anak bongsu ke rumah sepupu dan sepatutnya selepas itu mangsa dihantar ke rumah nenek, namun bapanya terlupa mangsa tidur di tempat duduk belakang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia berkata, ibu mangsa yang pulang dari tempat pada jam 3 petang juga tidak mengetahui mangsa tiada di rumahnya neneknya.

Katanya, nenek mangsa juga menyangka bapa mangsa tidak bekerja pada pagi kejadian menyebabkan dia tidak bertanyakan mengenai Aina Batrisha yang tidak datang ke rumahnya.

"Semua tidak menyangka perkara ini berlaku, mungkin ini dugaan buat bagi kami sekeluarga, jadi tolong hentikan segala kecaman terhadap keluarga kami terutama kepada bapa mangsa.

"Kalau tidak tahu cerita sebenar, janganlah membuat andaian sesuka hati ia akan menambah kesedihan hati kami sekeluarga," katanya.

Katanya, jenazah kanak-kanak itu dijangka akan disolatkan di Masjid Bukit Kecil Simpor Tikam Batu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kecil selepas solat Asar.

Berita berkaitan

Budak perempuan maut tertinggal 10 jam dalam kereta bapa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 4:52 PM