GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kesukaran mendapatkan gula menyebabkan seorang peniaga air dan makanan sanggup menempuh perjalanan lebih 30 kilometer (km) dari Bachok ke Kampung Raja di Besut, Terengganu untuk mendapatkan bekalan itu.

Namun, usahanya hampa apabila lebih 10 kedai runcit dan pasar raya yang dijejakinya sudah kehabisan barang keperluan berkenaan.

Mohd Zunaidi Mohd Razali, 41, yang tinggal di Kampung Aur, Telong, Bachok berkata, dia nekad ke Besut selepas semua premis perniagaan di Bachok kehabisan gula, namun tetap hampa.

"Saya mencari gula untuk berniaga air demi kelangsungan hidup, namun agak sukar mendapatkan bekalan itu terutama selepas minggu pertama Aidilfitri.

"Agak pelik kerana rata-rata peniaga memberitahu bekalan tidak sampai sejak Aidilfitri walaupun saya difahamkan gula sudah diagihkan kepada mereka sejak beberapa hari lalu.

"Mungkin gula tidak sampai di daerah Bachok menyebabkan bekalan tidak cukup. Kalau dapat beli sekilogram pun saya bersyukur," katanya yang berniaga di Pantai Melawi.

Menurutnya, dia bimbang sukar berniaga dan menyara keluarganya jika masalah kekurangan gula terus berlarutan.

Pembuat kek, Nur Aishah Yahya, 28, berharap masalah itu dapat diselesaikan segera bagi mengelakkan bekalan terputus dalam tempoh yang lama.

Katanya, jika tiada gula, dia tidak dapat meneruskan perniagaan kek yang diusahakan dari rumah sekali gus akan menjejaskan pendapatan.

"Saya minta kerajaan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan bekalan gula ada di pasaran di Kelantan," katanya.

Media semalam melaporkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan berlaku gangguan bekalan gula peket satu kg di Kelantan dan Terengganu susulan penutupan sementara kilang gula MSM di Johor dan Perai, Pulau Pinang kerana sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kedua-dua kilang berkenaan sudah beroperasi semula pada 25 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 10:30 AM