BANGUNAN Serambi Teruntum di Tanjung Lumpur, Kuantan. FOTO ASROL AWANG
BANGUNAN Serambi Teruntum di Tanjung Lumpur, Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Hanya meriah pada hujung minggu, sementara hari biasa ia sunyi dan sepi seolah-olah tiada aktiviti perniagaan dijalankan.

Itu keadaan ikon pelancong terbaharu di Kuantan, Kompleks Bazar Serambi Teruntum yang terletak di kawasan Tanjung Lumpur, dekat sini.

Kompleks yang dibuka pada 2017 itu mempunyai pelbagai gerai makan dan gerai jualan produk tradisional dari Pahang dan pantai timur sepatutnya mendapat perhatian ramai pengunjung setiap masa kerana lokasinya strategik.

Namun, tinjauan Harian Metro mendapati kompleks berkenaan hanya menjadi tumpuan pengunjung pada hujung minggu sahaja, iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Pada hari biasa, kebanyakan peniaga hanya 'meriba tangan' sambil menunggu pengunjung membeli belah di situ.

Tinjauan mendapati kompleks berkenaan mempunyai kemudahan yang baik termasuk pelbagai makan, surau dan pelbagai lagi untuk keselesaan pengunjung.

Seorang peniaga, Md Nor Rashid, 71 berkata, pelbagai langkah perlu diambil pihak berkuasa untuk memastikan kompleks berkenaan mendapat kunjungan pelancong setiap hari.

Dia yang menjual produk batik dan kesihatan berkata, bagi memastikan kelangsungan peniaga untuk terus berniaga di situ.

Katanya, peniaga berterima kasih kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang banyak membantu mempromosikan Serambi Teruntum.

"Begitu juga Tourism Pahang yang turut sama membawa pelancong ke sini, sekali gus membantu menjana pendapatan kepada peniaga.

"Namun, usaha lebih agresif perlu diambil untuk mempromosi kompleks ini supaya menjadi lokasi 'wajib' singgah bagi pengunjung sama ada dari luar atau dalam negeri.

"Kami golongan peniaga sangat berharap Serambi Teruntum menjadi antara destinasi pilihan utama pengunjung setibanya di Kuantan," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, mereka mahu kompleks itu meriah sepanjang masa dan tidak terhad kepada cuti hujung minggu, atau persekolahan sahaja.

Sementara itu, suri rumah, Habibah Muhammad Salahuddin, 54, berkata, dia berharap promosi dipertingkatkan lagi bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Serambi Teruntum.

Menurutnya, ia bagi memastikan orang ramai tak 'terlepas pandang' kewujudan kompleks yang mempunyai pelbagai produk menarik dijadikan buah tangan atau kegunaan harian.

"Bagi saya, usaha yang dilakukan kerajaan terutama MBK memang tepat pada masanya, namun promosi di di media sosial juga perlu dilakukan.

"Rata-rata masyarakat berkunjung ke satu tempat apabila tular atau ada sesuatu menarik," katanya.

Pada masa sama, Habibah berkata, peniaga juga perlu meningkatkan kualiti produk sebagai tarikan kepada pengunjung.

Katanya, jika produk yang dijual berkualiti dan mempunyai keunikan tersendiri pengunjung pasti akan ke lokasi berkenaan untuk mendapatkannya.

Kompleks Bazar Serambi Teruntum dibangunkan dengan kos RM18 juta oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang menyediakan 89 unit kedai dengan lapan unit kedai makan, surau serta dataran di kawasan seluas enam hektar.


Ikuti penjelasan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 6:45 AM