KELIHATAN nelayan mencari hasil di Jeti Sungai Batu Teluk Kumbar. FOTO Mikail Ong
KELIHATAN nelayan mencari hasil di Jeti Sungai Batu Teluk Kumbar. FOTO Mikail Ong
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) menuntut untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).

Pengerusinya, Ibrahim Che Ros berkata, pihaknya mahu bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu berkenaan.

"Apa-apa pun, kita mahu jumpa PM (Perdana Menteri) dan minta (tuntut) janji yang dilafazkan di hadapan nelayan Sungai Batu kerana ia membabitkan nasib lebih 6,000 nelayan," katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam media melaporkan kenyataan Anwar yang mendakwa sudah mengemukakan beberapa kebimbangan mengenai isu itu, terutama (bagi) pihak nelayan dan penduduk setempat yang berbilang kaum dan biarkan proses berkenaan berjalan terlebih dahulu.

Anwar berkata, sekiranya nelayan dan penduduk setempat mahu kemukakan bantahan, beliau akan dengar dan kerajaan negeri juga akan berikan penjelasan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pen Mutiara, Zakaria Ismail, pihaknya tidak mahu percaya dengan mana-mana kenyataan berhubung kelulusan EIA projek berkenaan melainkan keputusan muktamad daripada Perdana Menteri.

Katanya, ia susulan kenyataan Perdana Menteri mengenai kelulusan EIA yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bukan keputusan muktamad bagi membenarkan aktiviti tambakan dilaksana di lokasi dicadangkan.

"Buat masa ini, kami tidak mahu percaya dengan mana-mana kenyataan sehinggalah PM (Perdana Menteri) keluarkan kenyataan muktamad," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Zakaria berkata, pihaknya akan terus membuat rayuan bagi memastikan projek berkenaan dibatalkan.

Katanya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama Lembaga Pengarah persatuan nelayan, ketua unit nelayan dan badan bukan kerajaan (NGO) pada Selasa depan bagi membincangkan mengenai isu berkenaan.

"Segala ketetapan akan dilakukan dalam mesyuarat itu dan pada masa sama kami akan terus berjuang bagi membatalkan projek berkenaan," katanya yang juga Ketua Unit Nelayan Sungai Batu.

EIA bagi projek PSI diluluskan JAS dengan 71 syarat yang perlu dipatuhi menerusi surat kepada kerajaan Pulau Pinang, bertarikh 11 April lalu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan berkata beberapa proses perlu dilalui terlebih dahulu, selain menjelaskan kerja tambakan hanya akan dimulakan pada suku ketiga 2023.

PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas dibantah komuniti nelayan serta NGO alam sekitar di Pulau Pinang kerana didakwa akan merosakkan ekosistem marin di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 1:41 PM