MOHAMAD Khairul (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
MOHAMAD Khairul (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Seorang pekerja kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas dituduh menculik remaja perempuan pada pagi Aidilfitri, Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohamad Khairul Firdaus, 26, dari Pekan, Pahang, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan, pada jam 5.30 pagi, 22 April lalu, di hadapan sebuah rumah di gugusan Felda Raja Alias, Bandar Seri Jempol di Jempol dia didapati menculik remaja perempuan berusia 14 tahun daripada penjaga yang sah.

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Selain itu, tertuduh diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Mei ini di Mahkamah Majistret Bahau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 12:43 PM