ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kejadian kepala air di Air Terjun Sungai Sendat, hari ini. Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kejadian kepala air di Air Terjun Sungai Sendat, hari ini. Ihsan Bomba
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Sekumpulan 12 pengunjung Air Terjun Sungai Sendat, Jalan Kampung Gurney, dekat sini termasuk tiga kanak-kanak, diselamatkan selepas terkandas di seberang sungai akibat kejadian kepala air, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata mangsa terdiri daripada sembilan dewasa serta tiga kanak-kanak berusia dua hingga 50 tahun, diselamatkan.

Terdahulu, katanya bomba menerima laporan kejadian pada jam 3.39 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

"Mangsa yang terperangkap terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita dewasa serta tiga kanak-kanak termasuk dua kanak-kanak perempuan.

"Kesemua mangsa terperangkap di seberang sungai selepas berlaku kejadian kepala air semasa mereka mandi manda di kawasan air terjun berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak bomba berjaya menyelamatkan kesemua mangsa sebelum dibawa ke tempat selamat dan kesemua mereka tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 7:12 PM