AISKRIM Malaysia kekal menjadi pencuci mulut kegemaran dan pilihan warga Malaysia yang ‘tak lapok dek hujan tak lekang dek panas’. FOTO BERNAMA
AISKRIM Malaysia kekal menjadi pencuci mulut kegemaran dan pilihan warga Malaysia yang ‘tak lapok dek hujan tak lekang dek panas’. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dibungkus dalam plastik berbentuk silinder, berwarna-warni dan pelbagai perisa, aiskrim Malaysia kekal menjadi pencuci mulut kegemaran dan pilihan warga Malaysia yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

Jika dahulu hanya beberapa perisa seperti asam boi, jagung dan bandung ditawarkan, kini pelbagai perisa tambahan dengan campuran pelbagai bahan lain seperti vanila coklat, onde-onde gula melaka dan laici sakura turut menambat hati penggemar.

Bagi usahawan aiskrim Malaysia, Nur Mala Amin, 36, perisa magnum peanut, bluemint dan durian antara yang istimewa daripada 19 perisa ditawarkan dan mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Tiga perisa istimewa ini dijual pada harga RM2.50 kerana kualiti bahan digunakan dan proses pembuatannya lebih rumit, namun terdapat sembilan perisa lain yang tidak kurang enaknya seperti Choki-Choki, sumi, teh hijau, laici, strawberi dan anggur yang masing-masing dijual pada harga RM1.50 dan RM1 sebatang.

"Kebanyakan pelanggan tertarik membeli aiskrim ini kerana teringat nostalgia zaman kanak-kanak. Walaupun ada pelbagai jenis aiskrim lain di pasaran, aiskrim Malaysia tetap ada keistimewaan tersendiri," katanya.

NUR Mala menunjukkan aiskrim pelbagai perisa yang dihasilkannya menerusi jenama Akak Aiskrim Malaysia. FOTO BERNAMA
NUR Mala menunjukkan aiskrim pelbagai perisa yang dihasilkannya menerusi jenama Akak Aiskrim Malaysia. FOTO BERNAMA

Beroperasi dari rumah sejak 2017, Mala yang dibantu dua pekerja kekal menggunakan kaedah tradisional dalam menghasilkan lebih 100,000 aiskrim sebulan.

"Peralatan digunakan masih sama seperti proses menghasilkan aiskrim Malaysia dahulu iaitu menggunakan jag dan corong untuk memasukkan adunan ke dalam beg plastik dan proses paling rumit adalah mengikat plastik dalam menghasilkan saiz sama," katanya yang berniaga aiskrim selepas perniagaan suaminya terjejas.

NUR Mala menunjukkan cara membuat aiskrim Malaysia sebelum ia dibekukan. FOTO BERNAMA
NUR Mala menunjukkan cara membuat aiskrim Malaysia sebelum ia dibekukan. FOTO BERNAMA

Menerusi jenama Akak Aiskrim Malaysia, ibu anak tiga ini boleh berbangga kerana mampu membuka sebuah kedai dan kios di Danau Kota, Setapak di sini pada 2019 hingga mampu menjana pendapatan lima angka.

Seorang lagi usahawan, Nurul Wahida Rosli, 36, yang juga suri rumah turut menjadikan perniagaan aiskrim Malaysia sebagai pendapatan sampingan bagi menambah pendapatan keluarga.

Bukan sahaja membantu menambah pendapatan, Nurul Wahida berkata, perniagaan itu juga menyediakan masa bekerja lebih fleksibel bagi membolehkannya menumpukan perhatian kepada dua anak.

AISKRIM Malaysia berperisa teh hijau  siap dibekukan di dalam mesin sejuk khas. FOTO BERNAMA
AISKRIM Malaysia berperisa teh hijau siap dibekukan di dalam mesin sejuk khas. FOTO BERNAMA

Menurut Nurul Wahida walaupun terdapat pelbagai jenis aiskrim di pasaran, aiskrim Malaysia masih mendapat tempat kerana harga murah, segar dan mudah dinikmati di mana sahaja.

"Saya terima tempahan lebih 1,000 aiskrim sebulan dan antara perisa paling digemari kanak-kanak adalah Choki Choki, rainbow, Oreo dan Milo.

"Orang dewasa lebih gemar memilih perisa bersifat masam manis seperti asam boi lemon dan nanas," katanya.

NUR Mala menyusun stok pelbagai perisa aiskrim yang sedia untuk dijual kepada  penggemarnya ketika ditemui di kedainya di Danau Kota. FOTO BERNAMA
NUR Mala menyusun stok pelbagai perisa aiskrim yang sedia untuk dijual kepada penggemarnya ketika ditemui di kedainya di Danau Kota. FOTO BERNAMA

Nurul Wahida yang mengusahakan perniagaan itu bersama ibunya, turut berkongsi perbezaan permintaan aiskrim dahulu dan kini.

"Kalau dulu kanak-kanak yang datang ke rumah untuk beli, berbeza sekarang ibu bapa pula datang dan biasanya beli dalam kuantiti banyak," katanya sambil menambah pembelian banyak dibuat untuk tempahan majlis.

Sementara itu, penggemar pencuci mulut itu, Ahmad Nazrin Rosman, 22, berkata, aiskrim Malaysia tetap menjadi pilihan kerana tekstur dan kesegarannya dapat menghilangkan haus.

"Aiskrim lain kadang-kadang cepat muak dengan bahan terlampau berkrim, melekit dan manis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 7:00 AM