AL-Sultan dan Tunku Azizah berkenan beramah mesra bersama jemaah selepas baginda selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga ATM di Masjid Khalid Al Walid hari ini. FOTO Bernama.
AL-Sultan dan Tunku Azizah berkenan beramah mesra bersama jemaah selepas baginda selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga ATM di Masjid Khalid Al Walid hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Masjid Khalid Al-Walid, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke majlis itu pada 6.40 petang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka berdua disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob.

Pada majlis itu, Affendi dalam ucapannya menzahirkan terima kasih atas keprihatinan Seri Paduka berdua terhadap warga ATM.

"Kemesraan dan kecaknaan Tuanku berdua sentiasa menjadi pembakar semangat untuk patik-patik sekalian melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan," katanya.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 50 anak yatim, balu ATM serta kakitangan awam kementerian sebelum berkenan menunaikan solat maghrib bersama para jemaah sebelum berangkat pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 10:49 PM