GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Redzuan Muharam


Shah Alam: Menjelang Aidilfitri, Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) menawarkan pemeriksaan kenderaan percuma secara sukarela atau VVI kepada kenderaan persendirian bermula esok hingga 20 April depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata, kempen itu bertujuan membantu pemilik mengetahui keadaan kenderaan mereka melalui pemeriksaan yang menggunakan peralatan berkomputer dan salah satu langkah memastikan keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri.

Menurut Mohammed Shukor, maklumat itu boleh digunakan sebagai rujukan untuk melakukan penyelenggaraan yang sewajarnya.

"Pada kempen kali ini, kami beri layanan VIP kepada pelanggan yang menjalani pemeriksaan sukarela di mana mereka boleh hadir terus ke Puspakom tanpa perlu temujanji dan turut diberi keutamaan.

"Puspakom menjadikan kempen pemeriksaan kenderaan percuma ini sebagai satu tanggungjawab korporat syarikat dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan kenderaan terutamanya ketika musim perayaan.

"Dengan tanda pagar #drivesafenoregrets Puspakom ingin mengingatkan orang ramai khususnya pemilik dan pemandu kenderaan persendirian yang ingin pulang ke kampung pada musim perayaan ini supaya memastikan kenderaan mereka berada di tahap keadaan yang terbaik sebelum memulakan perjalanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammed Shukor berkata, pemeriksaan kenderaan secara sukarela tertumpu kepada aspek keselamatan membabitkan brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan, cermin gelap dan banyak lagi.

Katanya, pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan pemeriksaan percuma boleh hadir secara terus (walk-in) ke mana-mana cawangan Puspakom seluruh negara kecuali Shah Alam, Taman Bukit Maluri dan Pasir Gudang bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

"Bagi merancakkan lagi kempen ini, Puspakom turut menganjurkan peraduan mudah kepada pelanggan di samping mengerah Unit Pemeriksaan Bergerak untuk menawarkan pemeriksaan percuma di beberapa lokasi terpilih.

"Lokasi terbabit adalah di Wisma DRB-HICOM dan MMU Cyberjaya (kakitangan sahaja) pada 11 April bermula jam 9 lagi hingga 4 petang.

"Dua lagi lokasi adalah Setia Alam Impian pada 15 April bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dan 19 April di Lotus's Ara Damansara pada waktu sama," katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web www.puspakom.com.my atau Facebook (Fb) rasmi Puspakom.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 2:52 PM