GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Dua lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes kebakaran sebuah kereta di hadapan sebuah rumah di Taman Seremban Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 4.30 pagi selepas pemiliknya menyedari kenderaan itu terbakar hampir 50 peratus dipercayai akibat perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki berusia 19 tahun jam 11.49 pagi tadi.

"Mangsa mendapati kereta miliknya jenis Proton Iswara Aeroback terbakar hampir 50 peratus di bahagian badannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi ketika mangsa meletakkan kereta di hadapan rumahnya di Taman Seremban Jaya.

"Siasatan mendapati seorang lelaki ke lokasi dan membaling sesuatu disyaki cecair mudah terbakar ke kereta berkenaan dan melarikan diri. Bagaimanapun pihak kami masih menjalankan siasatan punca kejadian itu," katanya.

Nanda berkata, susulan itu, polis membuat tangkapan ke atas dua lelaki berusia 17 dan 22 tahun bagi tujuan siasatan dan perintah reman terhadap kedua-dua suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Seremban esok.

"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 10:10 PM