Nazdy Harun


Kuala Berang: "Saya hanya sempat melapor diri sebaik menerima pertukaran bertugas di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun, sebelum terlantar akibat kanser payudara," kata Noorain Farhanah Abdul Ghani, 36, dari Felda Tersat, dekat sini.

Menurutnya, yang sebelum itu bertugas sebagai pensyarah di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah berkata, doktor mendiagnosis kanser payudara yang dihidapnya pada tahap empat.

Katanya, kanser terbabit juga merebak ke bahagian tulang belakang dan tulang peha hingga mengakibatkan sebahagian tulang peha terpaksa dipotong dan digantikan dengan besi.

"Pembedahan membuang sebahagian tulang dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan dan hingga kini saya masih menjalani rawatan susulan di hospital berkenaan.

"Selain mendapat rawatan di HRPZ II, saya turut menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu secara berkala," katanya yang menyedari menghidap kanser Ogos tahun lalu.

Menurutnya, berikutan penyakit yang dihidapinya dia kini hanya mampu terlantar dan ibunya Senah Mat Zin, 72, yang akan membantunya melakukan rutin seperti menukar lampin pakai buang, menyediakan makanan dan memandikannya.

SENAH setia menjaga anaknya Noorain Farhanah Abdul Ghani, 36, yang menghidap kanser payudara. FOTO Nazdy Harun
SENAH setia menjaga anaknya Noorain Farhanah Abdul Ghani, 36, yang menghidap kanser payudara. FOTO Nazdy Harun

Katanya, setiap kali ingin ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan dia perlu menyewa ambulans dengan kadar bayaran RM1,200 pergi dan balik selain menyewa inap desa dengan kadar RM170 semalam.

Noorain berkata, begitu juga sekiranya dia ingin ke HSNZ II untuk mendapatkan rawatan dia perlu menyewa ambulans dengan kadar RM300 untuk pergi dan balik.

Menurutnya, kos lain pula dia perlu membeli ubat bagi mencairkan darah dengan harga RM600 sebulan selain lampin pakai buang sebanyak RM450 sebulan.

"Saya sudah dimaklumkan oleh majikan gaji bulanan separuh akan dipotong berikutan saya sudah tidak mampu bekerja dan dengan kos pengangkutan untuk mendapatkan rawatan yang tinggi amat membebankan saya.

"Persekolahan anak saya Ade Nur Ariyana Abd Fattah diuruskan abang yang tinggal berdekatan dengan menghantar dan menjemput anak saya dari sekolah setiap hari," katanya.

Menurutnya, jasa ibunya menjaganya ketika ini tidak terbalas kerana walaupun sudah menjangkau usia emas namun masih bertenaga untuk menguruskannya setiap hari.

Sementara ibunya, Senah berkata, dia mengambil tugas dengan menjaga sepenuhnya anak ke lima daripada enam beradik itu selepas disahkan menghidap kanser payudara dan kini hanya mampu terlantar di katil.

"Rutin harian saya perlu menukar lampin, memandikan, menyediakan sarapan dan menukar pakaian Noorain, setiap hari.

"Saya amat sedih melihat keadaan anak saya itu sekarang daripada seorang yang ceria, kini menderita penyakit yang dialaminya," katanya.

Menurutnya, selagi kudratnya masih kuat dia akan menjaga anaknya sepenuh hati selain akan menemani Noorain, apabila melakukan rawatan susulan di HRPZ II dan HSNZ setiap bulan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban Noorain boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank Noorain Farhanah Abdul Ghani di nombor akaun, 163037113452.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 3:59 PM