Mohd Amin Jalil


Seremban: Usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan konsep tanpa kelas akademik pada minggu pertama sesi persekolahan tahun baharu, menerima maklum balas positif daripada warga pendidik dan ibu bapa.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia menjadi sesi suai kenal yang memberikan keseronokan kepada murid terutama mereka yang kali pertama hadir ke sekolah.

"Alhamdulillah, semua gembira, minggu pertama memang menjadi, semua sangat gembira dan menceriakan, jadi kami lihat semua sekolah dapat impak yang cukup berkesan daripada hala tuju yang ditetapkan.

"Sesi suai kenal yang diadakan begitu berjaya," katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Antara Bank Islam Malaysia Berhad dan Yayasan Didik Negara (YDN) di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed serta Ketua PegawaI Eksekutif YDN, Hardian Hadir.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya sedang berusaha merapatkan hubungan kementerian dengan komuniti pendidikan menerusi program Jerayawara Pendidikan Madani (JPM).

Beliau berkata, program yang bertujuan mengeratkan hubungan dan mendapatkan maklum balas daripada peringkat akar umbi diharap dapat membantu KPM untuk memperkasakan lagi bidang pendidikan negara.

"Program JPM ini pertama kali diadakan berkonsepkan turun padang bagi bertemu komuniti pendidikan di seluruh negara selain menyelami setiap permasalahan yang dihadapi.

"Selain itu, melalui kerjasama syarikat korporat, kita dapat mengumpulkan sumbangan untuk manfaat murid dan sekolah.

"Melalui program ini, kita bukan saja dapat berinteraksi dengan pegawai dan warga pendidik, malah murid dan pelajar sekali gus memastikan setiap permasalahan berkaitan bidang pendidikan dapat ditangani dengan baik," katanya.

Katanya, Negeri Sembilan adalah lokasi pertama program JPM berkenaan dan akan disusuli Selangor bulan depan sebelum menjelajah di seluruh negara kemudiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 10:43 PM
FADHLINA (tengah) bergambar bersama  anak-anak yatim pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Antara Bank Islam Malaysia Berhad dan Yayasan Didik Negara. FOTO Azrul Edham.
FADHLINA (tengah) bergambar bersama anak-anak yatim pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Antara Bank Islam Malaysia Berhad dan Yayasan Didik Negara. FOTO Azrul Edham.