LIM (dua, kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong Wong Siew Ki (kiri)  melihat keadaan runtuhan bumbung di SMK Cheras Jaya. Turut hadir, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya, Kamariah Che Ngah (kanan). FOTO Bernama.
LIM (dua, kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong Wong Siew Ki (kiri) melihat keadaan runtuhan bumbung di SMK Cheras Jaya. Turut hadir, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya, Kamariah Che Ngah (kanan). FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bumbung sebuah blok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Jaya, di sini, runtuh tengah hari semalam susulan kerosakan struktur bahagian bumbung blok bangunan berkenaan sejak Januari lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata, pada mulanya pihak sekolah mendapati terdapat serpihan kecil simen jatuh dari bumbung di blok berkenaan pada jam 12.40 tengah hari sebelum mengarahkan supaya bangunan itu dikosongkan.

"Pada jam 1.18 tengah hari semalam runtuhan berlaku secara besar-besaran dan kami amat bersyukur kerana tiada guru atau murid yang berada di kawasan ini memandangkan kawasan ini adalah tempat perhimpunan.

"Guru besar sudah melaporkan kepada Kementerian Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta bomba untuk memantau keadaan dan sekarang ini kita menunggu laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan seterusnya," katanya pada sidang media di SMK Cheras Jaya, di sini, hari ini.

KEADAAN runtuhan bumbung di SMK Cheras Jaya yang berlaku kelmarin. FOTO Bernama.
KEADAAN runtuhan bumbung di SMK Cheras Jaya yang berlaku kelmarin. FOTO Bernama.

Lim berkata, pada Januari lalu pihak sekolah telah membuat laporan kepada PPD mengenai kerosakan struktur bumbung di bangunan berkenaan dan meminta supaya penyelenggaraan dilaksanakan di bangunan itu.

"Bulan ini, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sudah menerima surat daripada PPD Hulu Langat di mana sekolah telah memaklumkan kerosakan dan pihak kami sudah bersedia untuk membuat penyelenggaraan dan jumlah yang dianggarkan adalah kira-kira RM450,000.

"Malangnya belum sempat kita memulakan penyelenggaraan bumbung itu runtuh dan ini akan menjadi projek yang lebih besar." katanya.

Menurut Lim, pihaknya akan meminta pihak JKR untuk membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas sekolah berkenaan bagi memastikan keselamatan untuk murid meneruskan pelajaran.

"Setakat ini sekolah masih menjalankan sesi persekolahan dan kerosakan membabitkan dua kelas, makmal komputer, makmal sains dan beberapa bilik lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 5:58 PM