AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Amir Mamat.
AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat


Jasin: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan keabsahan Datuk Rais Yasin sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu.

Ia sekali gus menafikan laporan yang memetik kenyataan surat tular mendakwa kemenangan Rais dalam pemilihan baru-baru ini terbatal.

"Saya ingin mengesahkan... Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) sudah memaklumkan kepada saya, (bahawa) tidak ada surat pembatalan (kemenangan Rais) itu dan Datuk Rais diabsahkan sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu," katanya selepas menunaikan solat Tarawih sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Ar-Rahman Kampung Pulai, Serkam di sini hari ini.

Ditanya sama ada surat yang tular itu palsu, katanya, tiada kepastian.

"Tapi yang penting, disahkan (keabsahan Rais sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu)," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Umno Bahagian Tangga Batu Datuk Abdul Latip Mohamad dilapor berkata menerima surat daripada Umno Pusat menerusi WhatsApp pada 2.26 petang tadi, memaklumkan pembatalan kemenangan Rais.

Surat berkenaan memaklumkan berlakunya ketidakaturan perjalanan mesyuarat pada proses pemilihan Umno bahagian itu yang berlangsung di sebuah hotel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 11:00 PM