GAMBAR fail, Asyraf Wajdi. FOTO NSTP
GAMBAR fail, Asyraf Wajdi. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pemuda Umno sudah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno, hari ini, untuk menyampaikan 10 cadangan #TuntutanRakyat bagi menambah baik bantuan kepada rakyat.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tuntutan pertama adalah supaya kerajaan menyegerakan Bantuan Khas Covid-19 ( BKC) bukannya menunggu Ogos depan seperti diumumkan sebelum ini.

"Segerakan BKC, jangan tunggu Ogos. Itu pun belum ada tarikh Ogos bagi tujuan pembayaran. Rakyat amat terdesak sekarang. (Nilai BKC adalah RM250 untuk M40, RM800 untuk B40; RM1,300 untuk Miskin Tegar; RM100 untuk Bujang)

"Jangan berkira sangat, luluskan sahaja kedua-dua kategori penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), BKC dan penerima Geran Khas Prihatin (GKP). (M40: BKC (RM250) + GKP (RM500) = RM750; B40: RM300 + GKP: RM500 = RM800).

"Ramai mengadu dinafikan BPR/BKC kerana GKP sedangkan GKP untuk bantu perniagaan terjejas manakala BPR/BKC lebih kepada keperluan menampung kehidupan diri dan keluarga," katanya menerusi Facebook (FB), hari ini.

Beliau berkata, proses rayuan juga perlu dipermudahkan tanpa perlu banyak dokumen pembuktian pengurangan pendapatan.

Menurutnya, kerenah birokrasi akan menyusahkan rakyat terutamanya M40 yang hanya menerima RM250.

"Seterusnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wajar ambil kira data terkini. Ramai dalam kalangan rakyat terutamanya M40 yang jatuh ke kategori B40 sejak awal tahun ini ketika PKP 2.0 dan makin parah apabila PKP 3.0. Data pembayaran cukai 2020 tidak menggambarkan realiti sebenar keadaan majoriti rakyat!

"Kerajaan wajar menambah suntikan fiskal dengan meningkatkan jumlah BKC terutamanya untuk M40. Nilai RM250 terlalu sedikit dalam keadaan rakyat sudah sampai ke peringkat terdesak.

"Tambah baik i-Citra dengan dibenarkan pengeluaran secara lump sum berbanding berkala setiap bulan dan kadar lebih tinggi mengikut simpanan pencarum, contohnya RM10,000 atau berkadaran dengan jumlah simpanan dalam Akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.

Beliau berkata, perlu dibenarkan akses kepada Akaun 1 KWSP dengan permudahkan pengeluaran i-Citra tanpa perlu melalui kerenah birokrasi dalam pengeluaran dan permohonan.

Katanya, benarkan akses kepada golongan T20 dan M40 untuk mengeluarkan caruman pada kadar lebih tinggi bagi tujuan melangsaikan komitmen seperti hutang akibat daripada pendapatan yang terjejas secara mendadak.

"Tuntutan kesembilan adalah selaraskan kaedah penawaran moratorium yang dibuat oleh bank dengan tidak mengenakan faedah terakru sehingga rakyat terpaksa membayar kos pinjaman lebih tinggi akibat memilih moratorium. Perluaskan juga moratorium kepada agensi kerajaan termasuk Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

"Tuntutan kesepuluh, bantuan khas kecemasan untuk peniaga-peniaga kecil yang ramai mula terpaksa gulung tikar akibat PKP 3.0 yang berpanjangan dan tiada berkesudahan," katanya.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri amat komited dan bersetuju untuk jadikan semua #TuntutanRakyat ini sebagai keutamaan.

"Bukan itu sahaja Insya-Allah, dalam isu PKPD 'Total Lockdown', beliau juga akan pastikan tindakan tegas diambil untuk tiada lagi kompromi untuk membolehkan kilang penyumbang infeksi virus dibuka sewenangnya.

"Tiada lagi pintu belakang dibuka bahkan akan dikunci serapatnya," katanya.

Mewakili Pergerakan Pemuda Umno Malaysia juga, Asyraf Wajdi berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri beliau atas lantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Rabu lalu.

"Beliau (Ismail Sabri) sempat beri jaminan, "Asyraf, don't worry! Saya di sini kerana Umno. Saya akan pastikan suara rakyat yang diperjuangkan oleh Pemuda akan saya sama-sama perjuangkan. Bantulah saya!"

"Insya-Allah Pemuda Umno akan terus menjadi jurubicara rakyat dan suara semak dan imbang bagi memastikan kerajaan benar-benar mendengar, menyantuni rakyat yang ketika ini dalam kesempitan dan kesusahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 4:59 PM