Amir Abd Hamid dan Wan Nur Izzati Wan Amir


Kuala Lumpur: Bersempena Ramadan ini, Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda inisiatif Media Prima Berhad (MPB) memulakan misi hari ini menjelajah ke Semenanjung Malaysia membabitkan zon Utara, Selatan, Tengah dan Timur untuk mengagihkan 6,000 pakej set iftar, barangan keperluan ke rumah anak yatim, orang tua, golongan ibu tunggal dan B40.

Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar, berkata program sebagai menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu mendapat kerjasama Panasonic Malaysia sebagai penaja utama dan turut berganding bahu dengan 100PLUS, jenama isotonik nombor satu di Malaysia sebagai rakan kongsi penghidratan.

"Kami amat berterima kasih kepada penaja program tahun ini, dan berharap dapat mengembangkan lagi rangkaian strategik pada tahun hadapan.

"Dengan lebih banyak sokongan penaja dan orang ramai, kami akan berusaha untuk memperluaskan lagi program Jom Ronda dan memperbanyakkan lagi kawasan persinggahan dan penerima sumbangan," katanya.

DATUK Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid menyempurnakan pelepasan program Seindah Kasih x Jom Ronda di Balai Berita Bangsar.  FOTO Asyraf Hamzah.
DATUK Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid menyempurnakan pelepasan program Seindah Kasih x Jom Ronda di Balai Berita Bangsar. FOTO Asyraf Hamzah.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelepasan program Seindah Kasih x Jom Ronda di pandu lalu Balai Berita di The New Straits Times Press (NSTP) Malaysia (M) Bhd, di sini, hari ini yang disempurnakan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Rafiq Razali, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata sekali lagi Media Prima bersama penaja-penaja mengusahakan sebuah program untuk menyantuni umat Islam seluruh negara.

"Kru akan berjumpa dengan masyarakat Islam sepanjang misi untuk mengimarahkan lagi Ramadan dan mengerat silaturahim antara syarikat korporat dengan masyarakat," katanya.

Program disertai enam kenderaan yang akan singgah di lebih 200 lokasi termasuk lapan rumah kebajikan dan empat masjid seluruh semenanjung.

DATUK Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid menyempurnakan pelepasan program Seindah Kasih x Jom Ronda di Balai Berita Bangsar.  FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid menyempurnakan pelepasan program Seindah Kasih x Jom Ronda di Balai Berita Bangsar. FOTO Asyraf Hamzah

Antara lokasi yang bakal disinggahi ialah Rumah Anak Yatim Shafar di Johor Bahru di mana Skuad akan bekerjasama dengan tentera negeri Johor untuk gotong royong membersihkan dan mengecat rumah.

Sementara itu, Pengurus Projek Seindah Kasih X Jom Ronda Eileen Lim berkata, pemilihan lokasi berdasarkan latar belakang pengurusan pusat kebajikan yang tidak menerima mana-mana bantuan.

"Program kali ini lebih menarik kerana membabitkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, pelajar IPT, penceramah bebas dan badan korporat," katanya.

PENGERUSI Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid menyempurnakan pelepasan program Seindah Kasih x Jom Ronda di Balai Berita Bangsar. FOTO Asyraf Hamzah.
PENGERUSI Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid menyempurnakan pelepasan program Seindah Kasih x Jom Ronda di Balai Berita Bangsar. FOTO Asyraf Hamzah.

Mewakili penaja utama program ini, Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Jualan dan Pemasaran Panasonic Aircondition Malaysia Stephen Eric Khan berkata Panasonic sentiasa memberikan keutamaan untuk mewujudkan kebersamaan dengan menyumbang kembali kepada komuniti.

"Kami sentiasa proaktif mencari peluang yang baik untuk bekerjasama dengan pemegang taruh utama dan memberi kembali kepada rakyat Malaysia sebagai balasan atas sokongan setia mereka terhadap penghawa dingin jenama Panasonic," katanya.

Panasonic akan menyumbangkan penghawa dingin teknologi Panasonic Nano E X kepada semua masjid yang dikunjungi skuad sepanjang misi kali ini.

Bagi jenama minuman isotonik nombor satu di Malaysia, 100Plus objektif atau misi utama mereka menyertai Skuad Seindah Kasih pada kali ini adalah untuk memberi sokongan kepada masyarakat muslim di Malaysia sempena menyambut kedatangan Ramadan.

Pengarah Pembangunan dan Inovasi Perniagaan 100Plus Zainal Abidin Musa berkata, aktiviti seumpamanya untuk meningkatkan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan hidrasi terutama dalam bulan Ramadan.

ANTARA artis dan skuad Seindah Kasih pada pelepasan program Seindah Kasih x Jom Ronda di Balai Berita Bangsar. FOTO Asyraf Hamzah
ANTARA artis dan skuad Seindah Kasih pada pelepasan program Seindah Kasih x Jom Ronda di Balai Berita Bangsar. FOTO Asyraf Hamzah

"100Plus akan menyerahkan minuman 100Plus Active, iaitu minuman isotonik dirumus khas dengan elektrolit dan Vitamin B yang boleh menghidrat lebih baik daripada air serta tidak berkarbonat bagi membantu peserta dan penerima kekal hidrat sepanjang Ramadan," katanya.

Program yang akan disiarkan di TV3, ia adalah program baharu bertujuan menyemarakkan kempen Ramadan Raya 2023.

Tema Program Seindah Kasih dipilih sebagai pesanan kepada umat Islam sentiasa bersyukur dengan apa yang dinikmati, terutama selepas mengharungi pelbagai ujian ketika berhadapan Covid-19, termasuk bencana alam yang meragut nyawa serta merosakkan harta.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai program TV3 dan TV9, layari www.xtra.com.my dan FacebookJom Heboh serta Instagram Jom Heboh Official.

Seindah Kasih akan menyemarakkan kempen Ramadan Raya 2023 menerusi TV3, TV9, Tonton, Hot FM, Buletin FM, Molek FM, Primeworks Studios, Berita Harian, Harian Metro, Oh Bulan, Seismik, Xtra, Sirap Limau, Waktu Solat Malaysia dan Big Tree.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 1:29 PM