Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Minta semua bertenang, kita menuju ke Januari semula, itu jaminan Kementerian Pendidikan (KPM)," kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Fadhlina memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai gesaan kebanyakan ibu bapa yang mahu kalendar akademik persekolahan bermula pada Januari, seperti sebelum ini.

Menurut Fadhlina, KPM faham kehendak ibu bapa namun kementerian berusaha meneliti beberapa aspek, antaranya jadual peperiksaan pelajar selaras dengan Akta Pendidikan 1996.

"Kita perlu mematuhi Akta Pendidikan 1996 iaitu kanak-kanak perlu bersekolah 190 hari.

"Kita juga perlu pastikan beberapa episod peperiksaan tak mengganggu persekitaran.

"Insya-Allah akan kembali ke Januari. Kita faham sentimen ibu bapa semangat mereka serta akan pergi ke arah itu (sesi persekolahan Januari).

"Insya-Allah, jadi beri ruang sedikit untuk menuju kembali ke arah itu bagi memudahkan semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah Yayasan Petronas 2023, Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (L) Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis.

Sempena program itu, Fadhlina menyampaikan sumbangan kepada 30 murid sebagai simbolik daripada 21,000 penerima di seluruh negara.

Terdahulu, KPM memaklumkan akan meneliti cadangan untuk mengembalikan semula kalendar akademik persekolahan bermula pada Januari seperti sebelum ini.

Fadhlina bagaimanapun berkata, perkara itu masih belum boleh dilaksanakan tahun hadapan kerana perlu menyelesaikan pelbagai justifikasi berdasarkan pematuhan kepada Akta Pendidikan 1996.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 9:51 AM