Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Lenggong: Belum ada keputusan rasmi untuk menjadikan Hospital Sungai Siput (HSS) sebagai hospital penuh Covid-19 susulan peningkatan angka pesakit wabak berkenaan di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, terdapat persiapan dilakukan ke arah menjadikan hospital itu khusus bagi menempatkan pesakit Covid-19.

"Sekarang belum ada keputusan lagi dan ia barangkali hanya cadangan dan persiapan jika ia (keadaan kritikal) berlaku seperti penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS Serdang, Selangor.

"Tetapi (sehingga kini) belum ada ketetapan rasmi mengenainya, tetapi (namun) persiapan sememangnya ada," katanya selepas penyerahan bantuan kotak makanan kepada nelayan darat di Kampung Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus termasuk di media sosial mengenai HSS menutup sementara perkhidmatan rawatan pesakit luar kononnya bermula sejak Khamis lalu bagi memberi laluan kepada pesakit Covid-19.

Saarani berkata, peningkatan kes positif Covid-19 harian di negeri ini tidak begitu memberi impak kepada fasiliti rawatan khususnya katil dan tong oksigen di hospital berikutan kebanyakan mereka adalah pesakit tidak bergejala.

Menurutnya, pihaknya mendapati peningkatan jumlah kes disebabkan ujian calitan yang diadakan secara besar-besaran terhadap penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Bukan semua yang positif Covid-19 masuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), setakat ini saya dimaklumkan kebanyakan mereka (mutakhir) ini dikuarantin di rumah masing-masing.

"Bagaimanapun, persiapan masih kita lakukan walaupun (keadaan) kita tidaklah kritikal seperti di tempat (negeri) lain," katanya.

Saarani Mohamad hadir di Program Penyerahan Kotak Bantuan Makanan Nelayan Darat Negeri Perak di Pusat Pekasam Negara, Lenggong. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Saarani Mohamad hadir di Program Penyerahan Kotak Bantuan Makanan Nelayan Darat Negeri Perak di Pusat Pekasam Negara, Lenggong. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 2:19 PM