MOHD Nor (tengah) bersama tetamu dan atlet jemputan selepas perasmian Rocky BaseCamp di AEON Mall Shah Alam.
MOHD Nor (tengah) bersama tetamu dan atlet jemputan selepas perasmian Rocky BaseCamp di AEON Mall Shah Alam.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Sukan mendaki di Malaysia mengorak selangkah lagi dengan pelancaran The Rocky BaseCamp (RBC) Rock Climbing di AEON Mall Shah Alam.

Menawarkan aktiviti sihat membabitkan sukan di dalam dewan, RBC menawarkan sukan yang mampu untuk menguji keupayaan minda dan kekuatan dari segi fizikal.

Nyata kewujudan RBC mendapat perhatian Pengarah Belia dan Sukan Selangor Mohd Nor Md Said yang menyambut baik usaha AEON menitik beratkan semangat kesukanan dan gaya hidup sihat.

Katanya, apa yang dilakukan AEON itu satu contoh baik yang perlu dijadikan ikutan pasar raya lain di negara ini.

“RBC menawarkan aktiviti sihat untuk keluarga dan ia satu perkembangan baik bagi sukan di negara ini khasnya bagi sukan mendaki.

“Mereka yang terbabit dalam sukan ini dapat meningkatkan kesedaran mengenai gaya kehidupan sihat selain menggalakkan aktiviti riadah bersama keluarga,” katanya.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan Persekutuan Mendaki Malaysia Mahadi Prasafarid berkata, ibu bapa yang mahu mendedahkan sukan itu kepada anak mereka seawal usia empat tahun tidak perlu bimbang kerana sukan memanjat dinding selamat.

Menurutnya, RBC amat menitik beratkan keselamatan terutama kanak-kanak dengan menyediakan kelengkapan lengkap ketika memanjat dinding.

Sempena pelancaran, RBC menawarkan harga promosi RM20 (harga biasa RM35) kepada mereka yang ingin mencuba sukan memanjat dinding itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 8:14 AM