Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus dilaporkan dimasukkan ke hospital untuk rawatan dipercayai kerana masalah kesihatan membabitkan paru-paru dan jantung.
Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus dilaporkan dimasukkan ke hospital untuk rawatan dipercayai kerana masalah kesihatan membabitkan paru-paru dan jantung.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.

Difahamkan, UAI dimasukkan ke HSNZ kerana batuk dan masalah paru-paru.

Ketika ini, UAI masih menerima rawatan di hospital berkenaan dan keadaannya stabil.

Sementara itu, akaun Facebook Ustaz Azhar Idrus memaklumkan, Kuliah Maghrib Ambang Ramadan Bersama Ustaz Azhar Idrusyang sepatutnya diadakan di Masjid Kampung Bukit Tadok Kuala Telemong malam semalam ditangguhkan atas dasar kesihatan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah turut melawat penceramah berkenaan yang dirawat di HSNZ petang tadi.

"Alhamdulillah, kesihatan Murabbi Ummah, Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus semakin bertambah baik setelah menjalani rawatan di hospital.

"Beliau dimasukkan ke hospital kelmarin kerana mengadu kurang sihat (dan) sewaktu ziarah Al-Fadhil Ustaz tadi, sempat juga beliau bergurau senda bersama kami sambil menceritakan kisah sakit yang sedang dilaluinya kini.

"Beliau juga telah dipindahkan ke wad kelas pertama di Hospital Sultanah Nur Zahirah ini dan mohon sama-sama doakan agar Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus diberi kesembuhan dan kesihatan Afiyah, insyaAllah," katanya menerusi Facebooknya.

Selain itu, beberapa tokoh agama dan pemimpin politik turut mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan dengan masalah kesihatan dihadapi UAI.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat menerusi satu hantaran Facebook turut mendoakan kesihatan penceramah terbabit.

"Semoga kembali sihat seperti sediakala buat Murabbi Ummah, Ustaz Azhar Idrus, Aamiin," katanya.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah turut sama memuat naik hantaran mendoakan kesihatan UAI.

"Semoga murabbi ummah kita cepat sembuh. Rakyat Malaysia sentiasa dahagakan ilmu dan didikan murabbi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 8:43 PM