SULTAN Ibrahim berkenan mengaminkan bacaan doa pada Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15. FOTO Bernama
SULTAN Ibrahim berkenan mengaminkan bacaan doa pada Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak membenarkan pemaju meratakan tanah berbukit atau tanah tinggi sepenuhnya, ketika membangunkaan satu-satu kawasan.

Sultan Ibrahim bertitah, tindakan meratakan tanah berbukit dan tanah tinggi perlu dikawal ketat dan dilakukan secara minimum.

"Pihak pemaju tidak wajar dibenarkan untuk meratakan permukaan tanah sepenuhnya jika kerja pemotongan bukit perlu dibuat.

"Ia perlu dikawal dan dilakukan secara minimum. Saya harap semua Datuk Bandar dan Yang diPertua akan selidik dahulu betul-betul sebelum meluluskan semua pelan kerja tanah.

"Ingin saya ingatkan kepada semua PBT supaya memastikan pembangunan di kawasan berbukit atau tanah tinggi mengekalkan bentuk muka bumi serta topografi asal seberapa boleh," titah baginda.

Peringatan Sultan Johor supaya PBT mengawal ketat pembangunan di kawasan berbukit itu susulan beberapa bencana kepala air, banjir kilat dan tanah runtuh yang mengakibatkan tragedi, menjejaskan penduduk sehingga mengorbankan nyawa.

Antaranya termasuk tragedi kepala air di kawasan kaki Gunung Jerai, Kedah, pada 18 Ogos 2021 yang dilaporkan mengorbankan nyawa enam penduduk yang tidak sempat menyelamatkan diri dan menjejaskan lebih 1,000 penduduk di kawasan itu.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menggesa semua PBT tidak meluluskan sebarang kebenaran merancang (KM), jika pemaju tidak menyediakan laluan pejalan kaki dan lorong berbasikal dalam pelan mereka.

"Highway (lebuh raya) bukan untuk berbasikal," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 2:56 PM