Zamri Yusuf pada sidang media Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Zamri Yusuf pada sidang media Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, perlu berhenti berbalah dengan Kerajaan Persekutuan berikutan tindakan itu boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua pihak.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah Datuk Zamri Yusuf berkata, tindakan Muhammad Sanusi memainkan isu tertentu dan mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya hanya akan mengakibatkan pelbagai kesan.

Jelasnya, paling terkesan sekiranya hubungan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan terjejas adalah rakyat Kedah sendiri.

"Kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan harus berjalan lancar bagi memastikan Kedah menerima manfaat daripada Kerajaan Persekutuan.

"Sikap beliau yang suka berbalah mungkin memberi keuntungan politik buat dirinya kerana mendapat sokongan rakyat, tetapi dengan kelemahan sikapnya yang suka bergaduh, ia akan merugikan rakyat Kedah sendiri," katanya pada sidang media selepas sidang Dun di sini, hari ini.

Zamri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Suka Menanti berkata, tindakan Muhammad Sanusi dan beberapa Adun mewakili PAS yang berterusan menyentuh dan mencabar isu berkaitan Pulau Pinang juga perlu dihentikan.

"Kenyataan yang menyentuh isu Perlembagaan dan kedaulatan antara kedua-dua negeri tidak sepatutnya dikeluarkan menteri besar. Walaupun politik luas, tetapi apabila dilanggar sehingga disentuh isu sensitif, itu sudah dikira ekstremisme dan ia tidak boleh berlarutan.

"Beliau perlu jadi seorang individu, rakyat dan menteri besar yang bertanggungjawab. Kalau mahu sokongan politik sekalipun, janganlah bermain dengan Perlembagaan. Kita harap isu ini dihentikan kerana paling penting adalah hubungan perpaduan antara semua negeri," katanya.

Sementara itu, Adun Bandar Baharu Datuk Nor Sabrina Mohd Noor berkata, pimpinan Kedah perlu berhenti menggunakan sentimen sensitif dalam memenangi atau mempopularkan sesuatu pihak, tetapi akhirnya merugikan rakyat Kedah.

"Tidak guna hanya mainkan sentimen untuk ambil hati orang, tetapi bawa kerugian kepada pembangunan negeri. Tanpa Kerajaan Persekutuan, semua infrastruktur tidak boleh dibangunkan di Kedah, pelabur kita tidak boleh bawa masuk untuk projek berimpak tinggi seperti di Kulim.

"Jadi, saya minta kerajaan negeri supaya tidak menidakkan kepentingan Kerajaan Persekutuan kerana yang akan menanggung kerugian adalah rakyat Kedah sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 4:07 PM