Yun Mikail


Kota Kinabalu: "Kalau berfikiran seperti orang tiada iman, pastinya saya tidak boleh menerima perkara (kematian Asyraf) ini dan sebagai orang Islam tidak boleh begitu."

Begitu kata Samsiah Baharon, 69, nenek kepada pelatih guru Allahyarham Saiful Asyraf Mukhtar Saiful Khair, 21, yang maut terkena renjatan elektrik ketika membantu kerja pembersihan pasca banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh, Segamat, Johor pada Ahad lalu.

Samsiah yang juga seorang pesara guru besar berkata, beliau menerima panggilan mengenai kejadian menimpa cucunya kira-kira 12 tengah hari pada Ahad.

Menurutnya, pada awalnya panggilan berkenaan hanya memaklumkan keadaan Asyraf yang dibawa ke Unit Kecemasan hospital berikutan terkena renjatan elektrik.

"Bagaimanapun, tidak lama kemudian pihak di sana menghubungi semula dan memaklumkan cucu saya sudah tiada.

"Saya memang sangat terkejut dengan perkara yang berlaku kerana keluarga sebelum ini melihat Asyraf dalam keadaan yang begitu sihat, malah pensyarahnya juga menyatakan dia seorang budak yang baik selain suka menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

"Namun, saya dan keluarga reda dengan semua yang berlaku serta berdoa agar proses pengebumian Asyraf dipermudahkan," katanya yang kelihatan sukar membendung kesedihan ketika menyambut ketibaan keranda jenazah cucunya di perkarangan MAS Kargo, di sini, hari ini.

Saiful Khair ketika ditemui pemberita di perkarangan MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Saiful Khair ketika ditemui pemberita di perkarangan MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ

Sementara, bapa Allahyarham, Saiful Khair Mohd Sampon, 47, berkata kali terakhir dia berhubung dengan anak sulungnya yang juga pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur, kira-kira dua hari sebelum kejadian berlaku.

"Kami berhubung seperti biasa dan saya tidak berasa ada sesuatu yang pelik dengan diri arwah ketika itu.

"Asyraf juga seorang anak yang periang, tidak cerewet dan mesra dengan adik-beradik. Memang pemergian Asyraf suatu kehilangan besar kepada keluarga terutama dia adalah anak sulung yang menjadi contoh kepada adik-adiknya.

"Walaupun hasrat mahu melihat Asyraf bergelar seorang guru Bahasa Inggeris tidak kesampaian tetapi selaku ayah, saya sudah reda," katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Saiful Asyraf Mukhtar tiba di MAS Kargo, di sini, sekitar 11 pagi menggunakan pesawat Malaysia Airlines.

Ketibaan jenazah disambut ahli keluarga terdekat termasuk bapa dan nenek Allahyarham.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Nibong Kampung Brunei, Membakut selepas solat Asar hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 2:31 PM