ABDUL Rahim (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar yang diwakili Pengetuanya Saniah Muhammad pada majlis pelancaran Rumah Mesra Syariah Mukim Pulau Tawar. FOTO BERNAMA
ABDUL Rahim (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar yang diwakili Pengetuanya Saniah Muhammad pada majlis pelancaran Rumah Mesra Syariah Mukim Pulau Tawar. FOTO BERNAMA
Roselan Ab Malek


SEBANYAK 28 unit Rumah Mesra Syariah dibina buat pertama kalinya di Pahang yang berkonsep rumah menepati ciri-ciri Islam termasuk tanda arah kiblat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, kerajaan negeri Pahang sentiasa memberi sokongan kepada pemaju yang ingin membina kediaman seperti itu kerana ia menggalakkan gaya hidup Islam dan memudahkan umat Islam untuk menjalani ibadah.

Beliau berkata, konsep Rumah Mesra Syariah seperti itu akan diperluaskan di seluruh negeri tidak lama lagi.

"Konsep mesra syariah diperkenalkan itu mempunyai ciri arah kiblat diperakui Jabatan Mufti Negeri Pahang dan tandanya dipasang di ruang tamu serta bilik tidur.

"Reka bentuk ruangnya memelihara aurat dan privasi keluarga apabila anak lelaki dan perempuan dapat diasingkan dalam bilik berlainan kerana ia mempunyai empat bilik.

"Selain itu, ia mempunyai keunikan lain apabila turut menyediakan tempat wuduk mesra tetamu dan dari segi luaran, konsep ini mementingkan kejiranan harmoni bersesuaian dengan nilai syariah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Syariah (RMS) di Taman Gelanggi RMS, Pulau Tawar, Jerantut, hari ini.

Abd Rahim berkata, pada fasa satu, 28 unit rumah berkembar setingkat dan dua unit banglo setingkat kini dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2021 manakala fasa dua membabitkan pembinaan 28 unit rumah teres syariah setingkat dengan kerja dijangka dimulakan pada 2021.

"Rumah berkembar mesra syariah memiliki empat bilik tidur dan dua bilik air dijual pada harga bermula RM299,000 dengan subsidi MyHome sebanyak RM30,000 ditawarkan kepada pembeli rumah pertama yang layak.

"Ia dilaksanakan pemaju hartanah Pembinaan Jaya Depan Sdn Bhd dan Jemaah Penasihat Syariah daripada Madrasah Darul Uloom Al-Islamiyyah," katanya.

Abd Rahim berkata sambutan perumahan dengan konsep mesra syariah dilihat amat menggalakkan apabila semua unit yang siap dan sedang dibina, habis terjual.

Beliau berkata, rumah berkenaan tidak hanya khusus kepada umat Islam, tetapi terbuka kepada bukan Islam kerana ia sesuai untuk semua agama dan golongan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 7:30 PM