Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Pelajar dan murid di 17 sekolah di Johor yang terjejas akibat banjir akan dipastikan berada di fasiliti sementara yang selesa untuk memulakan sesi persekolahan baharu, minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan berusaha memastikan pembelajaran berlangsung dalam keadaan selesa walau mungkin di premis sementara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, langkah itu sudah dibincangkan di peringkat jawatankuasa teknikal bencana negara.

"Koordinasinya akan dilakukan membabitkan kerjasama Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa agensi lain selain jawatankuasa bencana di peringkat negeri dan daerah.

"Bagi 17 sekolah ini (yang terjejas), biar pun ia nanti menggunakan premis sementara dan walaupun tidak terlalu kondusif keadaannya, tetapi kita akan ikhtiar supaya ia dapat diselesaikan sesegera mungkin supaya pelajar dan murid dapat terus belajar," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Pengurus Besar Kejora, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus.

Pada 6 Mac lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, tiada penangguhan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 yang dijadualkan pada 19 dan 20 Mac ini di negeri yang terjejas banjir.

Fadhlina turut diaporkan berkata, sekiranya kerja-kerja membaik pulih sekolah terjejas akibat banjir tidak sempat dilaksana sebelum tarikh tersebut, pelajar akan diberi pilihan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, perbincangan mengenai operasi pasca banjir di kawasan terjejas di seluruh negara sudah dilaksana bagi membantu memulihkan kawasan berkenaan.

Mengenai banjir termenung di Batu Pahat, katanya, kerja mengepam air keluar dari kawasan banjir sudah mula dilakukan.

"Perdana Menteri pun sudah mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk kerajaan negeri, geran untuk membeli peralatan dan Menteri Besar Johor juga ada hantar permohonan. Insya Allah kita akan tangani satu persatu," katanya.

Sehingga 12 tengah hari, 42,706 mangsa banjir membabitkan 12,047 keluarga masih menghuni 152 pusat pemindahan sementara di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 3:21 PM