Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kerajaan menyumbang RM2 juta kepada Yayasan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan) bagi mengangkat kedudukan al-Quran dari segenap aspek.

Ia termasuk pengukuhan dasar, pembangunan institusi dan pendekatan pelaksanaan yang komprehensif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemerkasaan institusi tahfiz juga giat berjalan termasuk melalui sumbangan daripada badan-badan korporat dan dermawan seluruh negara.

"Kerajaan sangat mengharapkan agar komuniti tahfiz dapat bergerak secara sistematik. Kerajaan akan menyumbangkan RM2 juta kepada Yayasan PINTA Kebangsaan.

"Gunakanlah sumbangan kerajaan ini dengan sebaiknya untuk mempertingkatkan kebajikan pengajar dan pelajar Tahfiz di seluruh negara.

"Kerajaan juga memohon untuk menjaga kebajikan guru-guru Maahad Tahfiz untuk memberikan gaji yang setimpal kepada mereka, selain mengutamakan kebajikan dalam bentuk makanan sihat, tempat penginapan dan kelas yang kondusif untuk huffaz," katanya ketika merasmikan Ekspo Huffaz 2023 di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu Jawatankuasa Projek Khas Huffaz Profesional juga ditubuhkan membabitkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Amanah rakyat (Mara), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Yayasan Terengganu.

"Jawatankuasa ini diurusetiakan dan dianggotai sama oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan PINTA.

"Jawatankuasa ini berjaya membangunkan tujuh modul yang signifikan bagi merealisasikan agenda melahirkan generasi huffaz profesional," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, bagi tujuan penyelarasan dan peningkatan tadbir urus pengurusan institusi tahfiz, melalui Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0, pada 2022 Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) membangunkan Garis Panduan Pengurusan Institusi Tahfiz.

"Ini adalah hasil perbincangan bersama dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri, Persatuan Tahfiz dan agensi kerajaan berkaitan.

"Garis panduan ini dibangunkan dengan sasaran mencapai tujuan membantu pengurus tahfiz meningkatkan kemahiran tadbir urus dengan lebih teratur dan sistematik, memastikan pengurusan kurikulum dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) seterusnya membentuk hala tuju pendidikan tahfiz yang jelas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 8:10 PM
AHMAD Zahid mewakili Perdana Menteri pada majlis pelancaran Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 dan Garis Panduan Pengurusan Institusi Tahfiz di Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO Amirudin Sahib
AHMAD Zahid mewakili Perdana Menteri pada majlis pelancaran Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 dan Garis Panduan Pengurusan Institusi Tahfiz di Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO Amirudin Sahib