HAJIJI Noor bersama Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam sesi Mesyuarat Penyelarasan KKDW Bersama Kerajaan Negeri Tahun 2023 Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam. FOTO ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
HAJIJI Noor bersama Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam sesi Mesyuarat Penyelarasan KKDW Bersama Kerajaan Negeri Tahun 2023 Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam. FOTO ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan wujudnya campur tangan yang menyebabkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuat keputusan memberi pengecualian kepada Umno membabitkan usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti itu tahun ini.

Presiden Umno berkata, tidak timbul parti itu memerlukan campur tangan luar bagi tujuan menyelamat, sebaliknya keputusan itu termaktub melalui klausa dalam Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) yang memerlukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengabsahkan sesuatu keputusan.

"Tiada campur tangan luar kerana ada dua pengadu yang mencabar usul yang dikemukakan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 2022.

"Usul itu diteliti oleh pengerusi tetap yang mengikut semua peraturan dalam PAU dan semua frasa dalam Perlembagaan dan perlu diketahui badan tertinggi dalam Umno ialah perhimpunan agung dan perhimpunan agung membuat keputusan terbabit, dengan diterima lebih 95 peratus perwakilan.

"Namun kita masih menyantuni aduan dibuat dan kita juga terus memberikan maklum balas diterima RoS dan berasakan bahawa ini bukan soal campur tangan luar tapi ini suatu klausa dalam akta pertubuhan," katanya pada sidang media, di Dewan Rakyat, di sini.

Berhubung pandangan bekas pemimpin Umno yang berasakan ada sesuatu tidak kena dengan perkembangan ini, Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun menganggap ia adalah pandangan peribadi.

Semalam, Saifuddin Nasution mempertahankan keputusannya memberikan pengecualian buat Umno dalam isu usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu sambil menegaskan pihak yang tidak berpuas hati boleh mencabarnya di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 2:53 PM