Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Kenaikan elaun Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menjadi khabar paling gembira buat 9,436 kakitangan di seluruh negara ini selepas harapan mereka sejak 2017 akhirnya tercapai.

Ketua Pengarah KEMAS Malaysia, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, bayaran elaun sagu hati PPMS mula dilaksanakan pada 2011 selepas mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan dengan bayaran berjumlah RM400 sebulan.

"Sebelum ini, mereka hanya menerima sagu hati berdasarkan perbincangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Aktiviti Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) sahaja.

"Dalam Bajet 2017, kenaikan kadar sagu hati PPMS ini dinaikkan kepada RM500 sebulan. Jumlah itu kekal sehingga 25 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa kadar sagu hati PPMS ini dinaikkan kepada RM800 sebulan.

"Kenaikan jumlah elaun ini besar maknanya buat mereka," katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Akujanji Kakitangan KEMAS Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah KEMAS Negeri Johor, Zamri Muhamad.

Ahmad Kamal turut berharap, dengan kenaikan jumlah elaun itu prestasi PPMS juga perlu ditingkatkan dan mereka diharap dapat memberi komitmen yang lebih tinggi.

"Pihak KEMAS berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang juga Menteri Kewangan serta Ahmad Zahid atas kelulusan dan pengumuman kenaikan elaun buat PPMS ini.

"Dengan kenaikan elaun yang hampir 60 peratus ini menjadikan ia kenaikan yang terbesar sejak elaun PPMS ini diperkenalkan," katanya.

Sementara itu, seorang PPMS di Tabika KEMAS Taman Plentong Utama B, Noor Liana Nerman, 37, berkata dia amat bersyukur dengan kenaikan jumlah elaun itu yang sekali gus dapat meringankan beban mereka yang bertugas sebagai PPMS.

"Saya suka bekerja sebagai PPMS kerana fikirkan kanak-kanak di Tabika dan kita mahu mendidik mereka, cikgu-cikgu juga banyak membantu.

"Hubungan kami dengan dengan penyelia dan guru sangat baik kerana mereka turut mengambil berat ke atas kami," katanya yang bertugas sebagai PPMS sejak 2019.

Bagi Haslinda Hashim, 51, PPMS di Tabika KEMAS Perumahan PDRM Tampoi, Johor Bahru, dia pernah berasa hendak putus asa apabila elaun diterima sangat kecil.

"Saya sudah berkhidmat sebagai PPMS selama 13 tahun yang mana ketika itu saya hanya menerima bayaran RM250 secara tunai, kemudian naik kepada RM400 dan RM500.

"Bulan ini, kami sangat gembira apabila elaun ini akan dinaikkan kepada RM800. Terima kasih kerana kerajaan mendengar rintihan dan rayuan kami.

"Kami kerja separuh hari sahaja dan dengan elaun yang tidak seberapa ini, tipulah kalau kami pernah rasa berputus asa dan ingin berhenti, tetapi berkat kesabaran, jumlah elaun ini sentiasa ditambah baik," katanya.

Untuk rekod, PPMS bukanlah penjawat awam atau kakitangan Kemas dan pemilihannya dibuat oleh Jawatankuasa Tabika.

PPMS berperanan membantu menguruskan serta mengawasi hal kebajikan kanak-kanak Tabika KEMAS seperti menyediakan makan minum berdasarkan menu yang ditetapkan oleh KEMAS, membersihkan kelas serta memastikan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak sepanjang sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC).

Ahmad Kamal berkata, mereka yang diberi keutamaan bagi menggalas tugas PPMS adalah suri rumah atau wanita tempatan yang tinggal berhampiran dengan Tabika KEMAS bagi tujuan membantu menambah pendapatan isi rumah keluarga.

Ahmad Kamal terdahulu menyampaikan amanat kepada kakitangan KEMAS negeri ini kira-kira satu jam selain menyempurnakan Penyerahan Surat Lantikan Kontrak dan menyaksikan Lafaz Ikrar Akujanji kakitangan KEMAS yang baharu dilantik serta Penyampaian Anugerah Apresiasi.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 12:55 PM
Ahmad Kamal bersama kakitangan Kemas Negeri Johor ketika Majlis Apresiasi dan Akujanji Kakitangan Kemas Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Ahmad Kamal bersama kakitangan Kemas Negeri Johor ketika Majlis Apresiasi dan Akujanji Kakitangan Kemas Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN