MELAYAN maut dalam kebakaran selepas bertembung dengan sebuah motosikal. FOTO ihsan polis
MELAYAN maut dalam kebakaran selepas bertembung dengan sebuah motosikal. FOTO ihsan polis
Muhamad Lokman Khairi


Pantai Remis: Nelayan rentung manakala seorang lagi lelaki cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka secara berasingan berlanggar dan terbakar di Batu 17 Pantai Remis, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Ramli Abdul Hamid, 60, yang menunggang Yamaha Sport maut di tempat kejadian, manakala penunggang Modenas Kriss, Mohamad Tahir Selamat, 39, cedera parah akibat terbakar.

Difahamkan, Ramli dalam perjalanan ke bot nelayannya yang terletak di Pengkalan Baharu untuk turun ke laut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha Sport membelok ke simpang kiri secara mengejut dan menyebabkan berlakunya pelanggaran.

"Semasa kejadian, penunggang Yamaha Sport membawa tong berisi petrol 20 liter. Akibat pelanggaran ini, kedua-dua motosikal dan mangsa terbakar di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Omar berkata, penunggang Yamaha Sport rentung di tempat kejadian.

"Penunggang Modenas Kris mengalami kecederaan parah akibat terbakar dan dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.

"Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Asyraf Henry Philip di talian 016-5572540," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 2:51 PM