Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Malaysia berada pada kedudukan teratas dalam isu pengaliran nilai wang haram tertinggi dikeluarkan sebelum disimpan di akaun luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan laporan Global Financial Integrity (GFI) dan Pandora Papers nilai yang dibawa keluar dari Malaysia mencecah trilion dolar Amerika Syarikat.

"Jumlah (wang keluar) laporan GFI sehingga (pendedahan) Pandora Papers dari malaysia agak tinggi berdasarkan jumlah penduduk dan kedudukan ekonomi kita.

"Ada yang disebut seperti negara China, Arab Saudi dan negara lain, tetapi (kedudukan) Malaysia di tingkat atas.

"Mengikut laporan ratusan bilion dolar Amerika dikeluarkan dari negara bahkan berdasarkan GFI nilainya mencecah trilion dolar Amerika," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian-PN) sama ada kerajaan meneliti semua akaun yang didaftar di luar negara bagi mencari ketelusan dana diterima termasuk dana politik dari luar negara yang disumbang kepada parti politik Malaysia.

Mengulas lanjut Anwar berkata, Malaysia antara negara yang berani memberikan arahan cukup jelas supaya mengambil tindakan tegas dan hentikan amalan budaya memunggah dan merompak wang negara walaupun mereka terbabit itu termasuk tokoh politik dan pemimpin.

"Nama-nama disebut Pandora Papers mencecah 3,000 orang ada yang sahih, ada peniaga tetapi kita tumpu dulu kepada tokoh politik besar seperti mantan menteri dan sebagainya yang dipercayai memunggah kekayaan semasa mereka berkuasa.

"Semua yang lari cukai dan melanggar udang-undang ini sudah disiasat dan saya berpuas hati dengan langkah diambil tanpa mengira puak mana, harus ada tindakan tegas.

"Saya beri jaminan dari dari sudut badan-badan berkuasa yang melapor kepada saya, arahan saya jelas jangan ambil sambil lewa tindakan ini biarlah menjadi satu pengajaran dan negara tak mampu lagi mengizinkan hal ini diteruskan," katanya.

DATUK Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama.
DATUK Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama.

Mengulas soalan dikemukakan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Parit Sulong-BN) mengenai langkah sedang dilakukan kerajaan berhubung pendedahan Pandora Papers yang mula timbul semula minggu lalu, Anwar berkata, beliau mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan meneruskan siasatan rapi ke atas isu berkenaan.

"Beberapa langkah canggih lain juga diambil melalui Bitcoin bagi mengelak daripada transaksi wang tunai (berlaku) dan beberapa langkah lain digital currency memerlukan kepakaran seperti Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia (BNM) selain mempertingkatkan usaha program cyber security.

"Saya juga mohon Yang Berhormat (YB) dan rakan-rakan 220 Ahli Parlimen ini mengambil sikap tegas jangan melindungi sebaik saja ada siasatan terus dipertikai niat, kalau ada bukti dan fakta maka tindakan diambil.

"Kalau tindakan diambil tanpa fakta boleh dicabar atau bermotifkan politik tetapi kalau wang ratus bilion atau ratus juta ringgit dibawa keluar dan (pesalah) dilindungi kerana dia menyokong kita, itu membawa malapetaka negara," katanya.

Media melaporkan, Pandora Papers mendedahkan, 12 individu Malaysia termasuk empat ahli politik, antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemimpin dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.

GFI dan Panama Papers juga mendedahkan pengaliran wang secara haram ke luar negara berjumlah RM1,800 bilion sejak 2004 hingga 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 11:58 AM