Tony Blair didapati mengelak membayar lebih AS$580,000 (RM2.4 juta) dalam cukai. FOTO AGENSI
Tony Blair didapati mengelak membayar lebih AS$580,000 (RM2.4 juta) dalam cukai. FOTO AGENSI
Agensi

Washington: Puluhan pemimpin negara dan kerajaan termasuk dari Jordan, Azerbaijan, Kenya dan Republik Czech menggunakan akaun luar pesisir bagi menyembunyikan wang dan pelaburan bernilai ratusan juta dolar, menurut siasatan Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

New York Post melaporkan, laporan siasatan dinamakan Pandora Papers terdiri daripada hampir 12 juta dokumen memperincikan pengurangan cukai sistematik oleh 14 syarikat yang menggunakan akaun bank luar pesisir untuk menyembunyikan kekayaan dan aset ratusan pelanggan kaya.

Syarikat dan individu kaya menggunakan shell company dan amanah rahsia untuk menyembunyikan aset meliputi kapal layar dan jet hingga rumah besar serta polisi insurans.

Rekod yang juga kebocoran terbesar dokumen rahsia, disusun dan dikeluarkan ICIJ, gabungan organisasi media di seluruh dunia.

Antara mereka yang memiliki akaun luar pesisir adalah 35 bekas dan pemimpin semasa dunia, termasuk Raja Jordan II dari Jordan, yang menyembunyikan AS$106 juta (RM442 juta) daripada pembelian rumah besar di Malibu serta tempat lain, menurut laporan di Washington Post.

Selain pembelian rahsia di Malibu, ia meliputi istana besar menghadap pantai di mana adegan terakhir filem terkenal pada 1968, Planet of the Apes difilemkan.

Syarikat gabungan dengan Abdullah membelanjakan hampir AS$70 juta (RM292 juta) untuk kediaman mewah di California Selatan antara 2014 dan 2017, tetapi mengelak cukai atas pembelian mewah, menurut laporan itu.

Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak disebutkan langsung dalam laporan itu.

Antara individu yang melindungi aset mereka dari dikenakan cukai adalah Perdana Menteri Czech, Andrej Babis, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta.

Douglas Latchford, seorang peniaga barang antik yang didakwa berkaitan artifak Kemboja diperoleh menerusi koleksi seninya dipamerkan di Muzium Seni Metropolitan New York didakwa menggunakan akaun luar pesisir menyembunyikan keuntungan daripada perdagangan seni bawah tanah.

Latchford didakwa pada 2019 menjual artifak Empayar Khmer Kuno tidak ternilai dengan memalsukan invois dan rekod lain.

Tony Blair, perdana menteri paling lama berkhidmat di Britain didapati mengelak membayar lebih AS$580,000 (RM2.4 juta) dalam cukai pemindahan harta tanah dengan membeli rumah besar London bernilai AS$11 juta (RM46 juta) apabila membeli harta itu melalui saham syarikat induk Kepulauan Virgin Britain, kata portal itu.

Penyanyi kelahiran Colombia, Shakira yang menghadapi masalah cukai kerana didakwa tidak membayar cukai di Sepanyol, menubuhkan entiti luar pesisir di Kepulauan Virgin Britain untuk menyembunyikan aset, menurut Pandora Papers.

Dokumen itu juga menunjukkan hartatanah bernilai AS$700 juta (RM2.9 bilion) dimiliki keluarga pemerintah di Azerbaijan, Aliyev.

Anak perempuan pemimpin Ilham Aliyev, Leyla yang dilaporkan Pandora Papers sebelumnya berkahwin dengan Emin Agalarov, bintang rock kelahiran Baku yang juga anak jutawan yang mempunyai hubungan rapat dengan Vladimir Putin dan Donald Trump.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 7:02 AM