OPERASI memindahkan mangsa banjir di Penampang Proper,  Penampang. FOTO Ihsan Bomba.
OPERASI memindahkan mangsa banjir di Penampang Proper, Penampang. FOTO Ihsan Bomba.
Juwan Riduan


Penampang: Hujan lebat berterusan sejak petang tadi, menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini, dilanda banjir.

Kawasan yang terjejas iaitu Penampang Proper, Jalan Kasigui, Jalan Kibabaig, Jalan Kiranau, Kampung Kolopis, Kampung Dabak dan beberapa kawasan lain.

Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Kebudayaan Penampang turut dibuka menempatkan beberapa mangsa banjir.

Operasi memindahkan mangsa banjir dilakukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mengarahkan pegawai Pusat Khidmat Parlimen Penampang membantu petugas Jawatankuasa Bencana Daerah Penampang untuk menangani situasi semasa banjir di daerah berkenaan.

"Saya baru berhubung dengan Pegawai Daerah Penampang (Francis Chong) mengenai situasi semasa banjir di Penampang.

"Pegawai Daerah mengisytiharkan berlaku banjir dan bilik gerakan bencana sudah diaktifkan. Semua petugas jabatan diminta bertugas sesuai dengan tugas dan jadual ditetapkan.

"PPS juga dibuka mengikut keperluan, malah operasi pemindahan mangsa banjir di lapangan juga dilakukan.

"Oleh kerana saya berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang Parlimen, saya meminta semua pegawai pejabat Menteri di Sabah dan urusetia Pusat Khidmat Parlimen Penampang untuk membantu pusat bencana daerah," katanya dalam kenyataan malam ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau akan mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa daripada Pegawai Daerah dan agensi berkaitan bagi memantau bencana banjir di Penampang.

"Saya meminta semua penduduk mengambil langkah keselamatan sepanjang bencana dan cuaca hujan lebat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 12:33 AM