Oleh Izz Laily Hussein


Kulai : Polis Johor yakin dapat mengenal pasti sekiranya wujud elemen kongsi gelap bertopengkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini memandangkan sentiasa bekerjasama erat dengan pihak itu dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil kerjasama itu, pihaknya yakin akan dapat mengesan lebih awal sekiranya ada kongsi gelap bertopengkan NGO berdaftar.

"Memang kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama NGO dan masyarakat yang tujuannya semata-mata untuk menjamin kesejahteraan masyarakat.

"Oleh kerana itu, sekiranya mereka (NGO) ini ada terbabit dengan elemen kongsi gelap, kita boleh tahu dan akan kesan mereka terutamanya melalui beberapa operasi yang dijalankan terutamanya Op Cantas.

"Setakat ini, tiada mana-mana NGO berdaftar yang terbabit secara langsung dengan kongsi gelap di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Balai Polis Kelapa Sawit yang disempurnakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor Deputi Komisioner M Kumar dan Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow.

Menurut Kamarul Zaman, walaupun menyedari kewujudan kumpulan kongsi gelap di negeri ini, namun pihaknya yakin dapat mengawal kegiatan jenayah dilakukan mereka.

"Kita tahu ada kumpulan gangster dan jika nak hapuskan semua memang susah, kerana jika kita buat apa pun cara, mereka akan bergerak secara gelap.

"Tetapi, kumpulan kongsi gelap ini juga kita memang sudah kenal pasti dan sentiasa dalam radar kita dan kita sentiasa pastikan kita dapat mengawal kegiatan atau aktiviti mereka sehingga tiada perkara yang tidak elok berlaku," katanya.

Kamarul Zaman berkata, antara program sering dijalankan pihaknya bersama NGO adalah dari segi program kempen kesedaran pencegahan jenayah, termasuk isu 'scammer' dan kanak-kanak.

"Kita juga melantik Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri pegawai polis untuk memantau keselamatan pelajar sekolah dalam memastikan tiada kemasukan elemen negatif ke sekolah seperti dadah dan rekrut kongsi gelap atau gangster ini," katanya.

Minggu lalu, Abd Jalil mendedahkan, kegiatan kongsi gelap ketika ini tidak jauh bezanya berbanding beberapa dekad lalu namun gemar berselindung di sebalik nama pelbagai NGO.

Beliau dilaporkan berkata, ahli kumpulan itu akan melakukan kerja amal melalui NGO bagi menampilkan imej baik di mata masyarakat.

Sementara itu, Balai Polis Kelapa Sawit mempunyai seorang pegawai dengan 26 anggota dan dilengkapi dua bilik kurungan, pondok pengawal, stor barang kes dan kuarters.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman ketika ditemuramah selepas Majlis Perasmian Balai Polis Kelapa Sawit, di Balai Polis Kelapa Sawit, Kulai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman ketika ditemuramah selepas Majlis Perasmian Balai Polis Kelapa Sawit, di Balai Polis Kelapa Sawit, Kulai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 3:59 PM