JAMARIAH (tiga kiri) bersama Khamis (empat kiri) serta lima cucunya melihat gambar arwah ibu mereka yang meninggal dunia akibat kanser perut. FOTO Zuliaty Zulkiffli
JAMARIAH (tiga kiri) bersama Khamis (empat kiri) serta lima cucunya melihat gambar arwah ibu mereka yang meninggal dunia akibat kanser perut. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Demi kasih sayang, seorang nenek tekad untuk menjaga lima cucunya yang hilang tempat bergantung selepas kematian ibu mereka, Noor Mariani Khamis akibat kanser perut kira-kira tiga tahun lalu.

Jamariah Zakaria, 60, berkata, empat cucunya, Nordini Shafiqah Mohd Noor, 21; Muhammad Amir Daniel, 18; Muhammad Irfan, 17; dan Nurdini Elyana, 15, berhenti sekolah sejak ibu mereka meninggal dunia dan hanya yang bongsu, Nurdini Qalisya, 10, bersekolah ketika ini.

"Saya tak ada duit nak teruskan persekolahan mereka. Cuma yang bongsu saja mampu bersekolah dan saya pula menghidap darah tinggi dan kencing manis.

"Tiga daripada cucu terpaksa mencari pekerjaan sendiri iaitu cucu sulungnya, Nurdini Syafiqah bekerja sebagai pembantu kantin di sekolah hadapan rumah dengan pendapatan sekitar RM30 sehari.

"Muhammad Amir Daniel dan Muhammad Irfan pula melakukan kerja membaiki rumah dengan upah RM50 sehari bergantung pada permintaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Menurut Jamariah, Nordini Syafiqah dan Muhammad Amir Daniel pula adalah anak istimewa kerana lembam sejak dilahirkan manakala Muhammad Irfan, Nurdini Elyana serta Nurdini Qalisya pula dilahirkan normal.

Namun katanya, Muhammad Amir Daniel mempunyai kebolehan dalam melakukan tugas membaiki motosikal.

"Kalau boleh makcik nak bagi semua pelajaran yang sempurna tapi makcik tak cukup duit kerana suami, Khamis Salleh, 65, mempunyai masalah kesihatan selepas menjalani pembedahan di perut, tiga tahun lalu," katanya.

Menurut Jamariah, dia tidak sanggup untuk berpisah dengan kesemua cucunya itu walau ada yang mahu mengambil mereka sebagai anak angkat.

Katanya, biarlah mereka membesar di depan matanya dan akan menjaga mereka sehingga akhir hayat.

"Sekarang ini, tiga cucu saya yang membantu mencari wang untuk menyara kami sekeluarga dengan hasil wang yang diperolehi ketika bekerja.

"Namun, kalau boleh saya nak juga beri mereka belajar bagi membolehkan mereka pekerjaan tetap untuk masa depan mereka," katanya.

Jamariah berkata, dia kemudian menghubungi Cancer Survivors Malaysia (CSM) untuk membantunya kerana buntu memikirkan masalah yang dihidapinya itu selain bimbang kesihatannya terganggu jika terus dibelenggu masalah.

Orang ramai yang berminat untuk membantu Jamariah sekeluarga boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun bank milik Jamariah, 152095746692 (Maybank), atau menghubunginya di 014-3490755.

Sementara itu, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal membantu keluarga itu dengan menghulurkan sumbangan wang tunai kepada Jamariah untuk membantunya.

Katanya, pihaknya juga akan membantu apa yang diperlukan Jamariah untuk keperluan mereka sekeluarga selepas kematian anaknya yang menghidap kanser.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 1:16 PM