LAMAS atau lelamaih yang menjadi makanan eksotik masyarakat di Sarawak.
LAMAS atau lelamaih yang menjadi makanan eksotik masyarakat di Sarawak.
Melvin Joni


Dalat: Sejak semalam tepi jalan Kilometer 7 Jalan Dalat-Sungai Kut di sini menjadi tumpuan orang ramai yang mengutip ulat kayangan dikenali Lamas atau Lelamaih.

Ulat itu yang merayap di atas jalan dan daun kayu nyatoh di kawasan berkenaan dikatakan dapat dijual antara RM400 sehingga RM600 sekilogram.

Menurut penduduk Kampung Sungai Kut, kehadiran ulat itu disedari semalam yang menyebabkan penggemarnya berpusu-pusu mengutipnya.

Bukan hanya penduduk kampung itu bahkan penduduk dari Oya dan Mukah.

Seorang daripada penggemar ulat, Senah Mat, 88, berkata, Lamas sedap dimakan sama ada dengan hanya merebus menggunakan air dan garam sahaja atau disalai.

"Ulat ini bersih dan baik untuk kesihatan," katanya yang memberitahu Lamas makanan eksotik bagi golongan Melanau di Mukah selain ulat Mulong (sagu).

Warga emas berketurunan Melanau itu menjelaskan rasa Lamas sebagai berlemak dan manis, serta boleh dimakan dengan sagu dan nasi.

Menurutnya, Lamas sukar dijumpai kerana habitatnya hanya dalam daun pokok Nyatoh dan di hutan tertentu sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 6:55 PM