Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Gabungan lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir di Kedutaan Sweden di Malaysia di Jalan Mayang Sari, Hampshire Park, di sini, hari ini, membuat perhimpunan aman sebelum menyerahkan nota bantahan tindakan bakar al-Quran dilakukan ahli politik negara Eropah itu, baru-baru ini.

Tiga wakil NGO yang masuk ke pejabat kedutaan untuk serahan nota bantahan itu ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid, Penasihat Umum Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Ahmad Awang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Mohd Azmi yang mengetuai NGO itu berkata, mereka menyerahkan nota bantahan itu kepada wakil Duta Besar Sweden ke Malaysia, Dr Joachim Bergstrom berikutan ketiadaan Duta di pejabatnya.

"Dalam pertemuan kira-kira 10 minit, saya menyatakan kepada wakil Duta itu bahawa perbuatan membakar al-Quran adalah perlakuan yang sama sekali yang tidak boleh diterima. Implikasinya bukan hanya satu negara malah ke seluruh dunia.

"Kita minta supaya mereka akur bahawa apa yang dilakukan itu satu yang merbahaya walaupun atas nama kebebasan pendapat.

"Saya juga bertanya kalaulah ada kumpulan yang menyerang dan menghina agama dominan di Sweden iaitu Kristian, apakah kerajaan Sweden akan berdiam diri? Sudah tentu tidak," katanya kepada media selepas pertemuan dengan wakil Duta itu.

Katanya, pihak NGO diwakilinya turut mempersoalkan mengapa kerajaan Sweden tidak mengambil tindakan kepada pelaku yang membakar al-Quran itu.

Pelbagai pihak NGO itu juga katanya, mahu meminta supaya Sweden anjurkan semula dialog dan interaksi dengan semua pihak dan lihat Malaysia sebagai contoh di mana walaupun bermasyarakat majmuk tetapi dapat menjaga serta hormati semua agama.

"Kemudian saya hadiahkan al-Quran terjemahan bahasa Inggeris kepada Duta melalui wakil itu. Selepas beri al-Quran, saya tanyakan kepadanya pernah membacanya? Dia memberitahu ada baca sikit.

"Saya katakan akan memberikan senaskah kitab suci itu khas untuknya nanti dan dia baca kemudian masuk Islam. Tetapi yang saya bawa ini tolong sampaikan kepada Duta.

"Saya katakan kepadanya bahawa Islam agama adalah kedamaian, tidak boleh hina sepatah pun kepada agama lain sebab itu adalah larangan besar dalam Islam," katanya.

MOHD Azmi menghantar nota bantahan kepada wakil Kedutaan Sweden. FOTO Aswadi Alias
MOHD Azmi menghantar nota bantahan kepada wakil Kedutaan Sweden. FOTO Aswadi Alias

Beliau menjelaskan kepada wakil Duta itu bahawa Islam juga tidak menganjurkan tindak balas secara ganas sebaliknya sebaik mungkin menyatakan protes dan sikap terhadap sebarang provokasi.

Ditanya mengenai desakan sesetengah pihak untuk membuat tindakan memboikot barangan Sweden, katanya, pihak NGO belum lagi sehingga ke tahap mengajak rakyat negara ini membuat tindakan demikian.

"Namun, jika masih berdegil dan tiada reaksi sewajarnya daripada kerajaan Sweden yang kononnya menunjukkan provokasi itu sebagai bentuk kebebasan, kami merancang supaya diadakan boikot barangan keluaran negara mereka.

"Sekurang-kurangnya tiga hari (tempoh diberikan) jika tak buat permohonan maaf secara terbuka mewakili seluruh rakyat Sweden," katanya.

Wakil kepada Duta itu, katanya, menerima nota bantahan itu dan mengesahkan akan diserahkan pula kepada Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson melalui Duta Besar Sweden ke Malaysia, Dr Joachim Bergstrom.

Sabtu lalu, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Sehari selepas itu, Malaysia mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan demikian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan Sweden perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara berkenaan.

Katanya, tindakan mencemar kitab suci umat Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden terbabit dan tiada sebarang tindakan diambil, ibarat bersetuju membiarkan Islamofobia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 12:34 PM