Nazdy Harun


Berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam bukan halangan buat pelajar ini mencuba bidang perniagaan meskipun dilaksana secara kecil-kecilan.

Muhammad Farish Ikhwan Abd Razak, 18, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong menjual donat sejak September 2022 dan aktiviti itu hanya dilakukan pada hujung minggu dan cuti sekolah.

"Saya mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi Kemahiran Vokasional Spesifikasi Pembuatan Roti di sekolah dan dengan kemahiran itu saya terjemahkan kepada perniagaan.

"Seawal 3 pagi saya sudah bangun menyiapkan donat dan ia biasanya selesai pada 6 pagi, manakala jam 7.30 pagi saya sudah membuka gerai.

"Semua proses ini saya lakukan sendirian berbekal kemahiran yang diajar guru. Saya jual donat berperisa pandan, susu, velvet dan gula," katanya yang tinggal di Pusat Pemindahan Semula Kampung (PPSK) Gunung Menerong di sini.

Muhammad Farish Ikhwan berkata, jualannya boleh mencecah RM160, namun bergantung jumlah donat dihasilkan dan bersyukur ia mendapat sambutan penduduk setempat.

Dia berterima kasih dengan tunjuk ajar gurunya yang banyak memberi sokongan terhadap minatnya dalam bidang bakeri.

MUHAMMAD Farish Ikhwan menunjukkan donut yang dihasilkannya yang dijual di Kampung PPSK Gunung Menerong. - Gambar NAZDY HARUN
MUHAMMAD Farish Ikhwan menunjukkan donut yang dihasilkannya yang dijual di Kampung PPSK Gunung Menerong. - Gambar NAZDY HARUN

Remaja itu berharap dapat membuka kedai bakeri sendiri dan akan berusaha merealisasikan cita-citanya itu.

Ibunya, Robiah Salleh, 51, berkata, tidak menyangka anaknya mempunyai semangat bersaing dan berjaya seperti insan normal lain.

"Saya melihat kesungguhan Muhammad Farish bangun awal pagi, buat adunan dan menggoreng donatnya sebelum buka gerai. semuanya dibuat sendiri. Saya bersyukur, teruja dan tidak sangka," katanya yang memberitahu anaknya mempunyai baki dua tahun lagi sebelum menamatkan persekolahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 7:00 AM