Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Bangunkan Teknologi Internet Pelbagai Benda (loT) yang berupaya mengesan punca dan lokasi asal pokok durian yang dipasarkan.

Sistem dibangunkan Sirim Berhad (SIRIM) itu turut mampu memastikan pemantauan berkesan sepanjang proses pengeluaran dan pengangkutan raja buah berkenaan.

Teknologi itu diperkenalkan SIRIM Berhad (SIRIM) melalui anak syarikatnya, SIRIM Tech Venture (STV) yang menjalin usahasama dengan DSR Taiko Berhad bagi membangunkan standard DSR Musang King dan sistem pengesanan bersepadu durian Musang King.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, usahasama holistik dalam pembangunan teknologi Durian Musang King itu diterjemahkan melalui penyerahan Laporan Kajian Kebolehlaksanaan Pasaran; DSR01:2022 Standard DSR Durian Musang King dan Sistem Pengesanan Bersepadu Musang King (MKITS) kepada syarikat berkenaan.

Menurutnya, STV menjalankan kajian kebolehlaksanaan pasaran untuk mengukur permintaan, peluang dan cabaran industri durian di peringkat global.

"Melalui kajian itu, analisis terperinci dilakukan bagi membantu DSR Taiko Berhad dalam proses perancangan perniagaan, kepelbagaian dan pengembangan pasaran.

"Sementara itu, DSR01:2022 Standard DSR Durian Musang King dibangunkan oleh SIRIM STS, anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad merangkumi keperluan dalam memastikan kualiti dan keaslian Durian Musang King keluaran DSR Taiko Berhad.

"Ini juga termasuk pemilihan bahan penanaman, pengurusan dusun, keperluan produk, ciri-ciri buah dan aktiviti selepas tuai yang boleh dikesan daripada pokok dan ladangnya," katanya pada Pelancaran Penyelesaian Perniagaan Holistik SIRIM- DSR dari Dusun kepada Pengguna disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Bahria Mohd Jamil di sini, tadi.

"Sistem IoT memastikan pemantauan berkesan sepanjang proses pengeluaran dan pengangkutan malah sistem turut dilengkapi papan pemuka untuk tujuan pelaporan operasi dan pengurusan.

"Semua data disimpan dalam pelayan berasaskan awan yang boleh diakses sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata, projek itu bukti kejayaan strategi serampang dua mata antara Kumpulan SIRIM Berhad dan industri, dan melalui STV, SIRIM menyumbangkan teknologi dan kepakarannya kepada DSR Taiko Berhad dalam memartabatkan industri Durian Musang King ke tahap pertumbuhan positif seterusnya memberi nilai tambah di sepanjang rantaian nilai durian.

"SIRIM mempuyani pelbagai kemudahan dan keupayaan yang kami tawarkan antaranya Penyelidikan dan Pembangunan, Pembangunan Standard Industri, Latihan, Pengujian dan Pensijilan, Reka bentuk Sekuriti dan Pembangunan Usahawan, kami yakin dapat membantu lebih banyak syarikat mengembangkan lagi perniagaan mereka," katanya.

Selain durian Musang King katanya, SIRIM dengan bantuan MITI dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) juga sedang meningkatkan usaha bagi buah nangka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 8:42 PM
Bahria (tiga dari kiri) diiringi Pengerusi SIRIM,Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali (tengah), Dr Ahmad Sabirin (dua dari kiri) menyerahkan plak projek kepada Ketua Pegawai Eksekutif DSR Taiko Berhad, Datuk Ng Lian Poh (tiga dari kanan) pada Pelancaran Penyelesaian Perniagaan Holistik SIRIM- DSR dari Dusun kepada Pengguna di SIRIM Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Bahria (tiga dari kiri) diiringi Pengerusi SIRIM,Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali (tengah), Dr Ahmad Sabirin (dua dari kiri) menyerahkan plak projek kepada Ketua Pegawai Eksekutif DSR Taiko Berhad, Datuk Ng Lian Poh (tiga dari kanan) pada Pelancaran Penyelesaian Perniagaan Holistik SIRIM- DSR dari Dusun kepada Pengguna di SIRIM Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR