Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seorang peniaga tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas lima pertuduhan memperdagangkan lima warga Indonesia untuk tujuan eksploitasi pada Disember lalu.

Tertuduh, Ng Eng Lee, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut lima pertuduhan berkenaan, bapa kepada tiga anak itu didakwa memperdagangkan lima warga Indonesia terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an untuk tujuan eksploitasi yang aktiviti itu menyalahi undang-undang.

Kesemua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah premis di Pusat Perniagaan Seri Juru di Bukit Mertajam, dekat sini antara jam 2 pagi hingga 3.05 petang, pada 22 Disember lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

NG Eng Lee hadir atas pertuduhan dibawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 di Mahkamah Sesyen Butterworth. FOTO Danial Saad
NG Eng Lee hadir atas pertuduhan dibawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 di Mahkamah Sesyen Butterworth. FOTO Danial Saad

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun manakala tertuduh diwakili peguam Benjamin Tan Yi Bin.

Qatrin Nada memohon kepada mahkamah supaya tidak menetapkan sebarang wang jaminan terhadap tertuduh berikutan kesalahan serius yang dilakukan.

Bagaimanapun peguam tertuduh memohon jaminan diberikan dengan alasan anak guamnya mempunyai tiga anak kecil berusia antara setahun hingga tiga tahun, selain memperoleh pendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain turut dikenakan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 21 Februari depan untuk tujuan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 1:49 PM