BERNAMA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, hari ini menahan seorang penolong jurutera awam selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dan terbabit dalam rasuah.

Sumber SPRM berkata, suspek ditahan pada 3.30 petang di Pejabat SPRM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

“SPRM dijangka mendapatkan permohonan reman di Mahkamah Majistret Seremban esok,” kata sumber itu.

Suspek, 42, dipercayai meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM18,000 secara berperingkat daripada sebuah syarikat sebagai balasan mempercepatkan urusan memperakukan kerja-kerja yang dijalankan syarikat terbabit.

Difahamkan, syarikat itu dilantik sebagai kontraktor untuk melaksanakan projek pembinaan dewan badminton dengan kos RM2 juta di sebuah sekolah di Negeri Sembilan.

Lelaki itu dipercayai melakukan perbuatan terbabit ketika menyandang jawatan Juruteknik Awam di sebuah agensi kerajaan di negeri berkenaan antara 2012 dan 2013.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 11:35 PM